Selasa, 26 Jun 2012

2 Murid Tahun 3 ditemui mati lemas

SINAR HARIAN

JERANTUT - Mayat dua orang murid Tahun Tiga yang dilaporkan lemas ketika mencari ikan bersama rakan-rakannya di Sungai Pahang berdekatan Kampung Jerangsang di sini kelmarin ditemui semalam.

Kedua-dua mangsa ditemui pada pagi dan petang semalam selepas dilaporkan lemas tengah hari kelmarin.

Mayat Muhammad Firas Samsudin, 9, ditemui anggota penyelamat pada 9.45 pagi, kira-kira kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian sementara mayat rakannya Mohd Aiman Abdullah, 9, ditemui 5 petang ini di dasar sungai di tempat mangsa dilaporkan hilang.

Menurut Ketua Polis Daerah Jerantut Supt Azid Ismail, dalam kejadian itu, enam rakan yang sama usia itu dikatakan pergi ke sungai untuk mencari ikan.

"Empat daripada mereka turun ke dalam sungai manakala dua lagi berada di atas tebing. Dua daripada mereka kemudiannya dilaporkan lemas dan dibawa arus sungai," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sementara itu Ketua Kampung Bukit Genting, Mohd Suhaimi Jaafaar berkata semua kanak-kanak terbabit berasal dari kampung tersebut yang terletak kira-kira satu kilometer dari sungai berkenaan.

"Semasa kejadian terdapat sebanyak 20 buah bot penduduk tempatan yang sedang menjaring ikan di kawasan berkenaan. Sejurus mendengar jeritan dan mendapat tahu kanak-kanak berkenaan dihanyutkan arus, mereka terus berhenti menjaring ikan dan segera mencari mangsa," katanya.

Beliau berkata polis yang dimaklumkan mengenai kejadian itu tiba di tempat kejadian setengah jam kemudian dan segera melaksanakan operasi mencari dan menyelamat yang disertai tujuh pegawai, 10 orang anggota dengan dibantu oleh 12 anggota  Jabatan Pertahanan Awam serta penduduk kampung.

Mohd Suhaimi berkata menurut rakan kanak-kanak terbabit, mereka menjaring ikan di sungai berkenaan.

"Kedua-dua mangsa dikatakan terjerlus ke kawasan dalam sebelum dihanyutkan air deras," katanya.- Bernama

Tiada ulasan: