Isnin, 21 Mei 2012

Wanita warga emas maut dihempap pintu jeriji besi

SINAR HARIAN

SABAK BERNAM - Seorang wanita warga emas maut dihempap jeriji besi pintu rumah yang tumbang setelah dilanggar kereta yang dipandu cucu lelakinya dalam kejadian di Taman Ria, Sekinchan di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Supt Noor Mushar Mohamad berkata dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, cucu kepada warga emas berusia 80 tahun itu mahu memulakan perjalanannya ke Kuala Lumpur dengan menaiki kereta jenis Proton Persona miliknya.

"Cucu mangsa tidak menyedari gear keretanya berada dalam keadaan mengundur dan menekan minyak menyebabkan ia melanggar pintu jeriji besi rumah berkenaan sebelum ia tumbang menghempap warga emas terbabit.

"Warga emas malang itu mengalami kecederaan termasuk patah kaki dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tanjong Karang dekat sini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata ketika kejadian kereta berkenaan diletakkan dalam keadaan bahagian belakang menghadap ke arah rumah keluarga mangsa dan ketika kejadian beberapa anggota keluarga termasuk suami dan anak perempuan mangsa berada di dalam rumah berkenaan.

Noor Mushar berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dengan cuai. -- Bernama

Tiada ulasan: