Ahad, 20 Mei 2012

Umno: Kian tak perlu jadi 'talam dua muka'

 
Ketua Umno bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee menggesa agar tindakan diambil ke atas Ketua Wanita MCA Melaka, Kian Sit Har yang menyertai perhimpunan BERSIH 3.0.

Syed Ali berkata, tindakan Kian menyertai perhimpunan pada 28 April di Dataran Pahlawan negeri itu seolah-olah menidakkan kepimpinan MCA.

Kian Sit Har malacca mca wanita chief at bersih 3.0Katanya, sebagai seorang anggota parti yang memegang jawatan tinggi, Kian seharusnya menggunakan saluran yang ada jika mempunyai pendapat untuk disuarakan.

"Bagi saya, parti yang beliau anggotai, MCA, patut ambil tindakan pada beliau. Parti kita sangat terbuka dan boleh menerima teguran...

"Beliau tak sepatutnya menyertai BERSIH. Mana-mana ahli yang sertai BERSIH perlu berhenti dan letak jawatan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Sementara itu, setiausaha Pemuda Umno bahagian Jasin, Jezlee Tit berkata, tindakan tersebut menunjukkan Kian tiada semangat setia kawan dan mementingkan diri sendiri.

Beliau mendakwa, Kian terlibat dalam perhimpunan tersebut untuk kepentingan kaum Cina semata-mata.
NONE"Masa BERSIH di Melaka, hampir 96 peratus ialah kaum Cina. Jadi saya rasa Kian turut serta kerana populariti dan untuk kepentingan kaum dia," katanya.

Sehubungan itu, Jazlee berkata, beliau menyarankan agar Kian menyatakan pendiriannya sama ada mahu menyertai pembangkang atau kekal dengan MCA.

Jelasnya lagi, kenyataan MCA juga dilihat tidak konsisten dan seperti "berdolak-dalik" ketika menjawab isu Kian menyertai pehimpunan BERSIH.

"Kalau nak bersama pembangkang, pergi sertai pembangkang. Kenyataan dia pergi sana sebagai manusia biasa tak boleh terima. Dia tak payah jadi talam dua muka.

"Saya juga lihat MCA juga suka berdolak dalih bila ada keadaan seperti ini. Jadi saya sarankan, Kian nyata pendirian kerana kita tidak hormat pemimpin seperti ini," katanya.

Kehadiran bekas senator BN itu menimbulkan kemarahan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang meminta Kian berundur dari MCA.

Kian menyertai parti itu pada usia 17 tahun dan bertanggungjawab menubuhkan Wanita MCA Melaka pada 1975 – pergerakan yang diketuainya sehingga hari ini.

Tiada ulasan: