Rabu, 2 Mei 2012

Umno gesa perusuh segera didakwa

KL TODAY

 


Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata polis perlu menyegerakan siasatan terhadap mereka yang melakukan kesalahan undang-undang semasa perhimpunan yang bertukar menjadi ganas di ibu negara Sabtu lepas.Katanya rakaman video mengenai rusuhan itu perlu dipertontonkan kepada khalayak ramai bagi membuktikan penganjur gagal menepati janji untuk berhimpun secara aman dalam masa dua jam.

Beliau berkata demikian selepas majlis ramah mesra dengan para pemimpin UMNO Bahagian Kuala Langat dan cawangan Sijangkang di sini, Isnin. Sebelum itu beliau bersarapan pagi bersama mereka selepas menunaikan solat subuh berjemaah di surau berhampiran.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata kejadian pada Sabtu lepas merugikan negara kerana ia mengganggu kegiatan perniagaan dan perkhidmatan untuk orang ramai seperti teksi serta menakutkan para pelancong asing.

“Rusuhan ini juga memburukkan imej negara di mana kejadian ini akan dimanipulasi media asing sedangkan ia tidak menggambarkan suasana sebenar negara yang lazimnya aman sepanjang tahun,” katanya.
Tegas beliau Malaysia menjunjung demokrasi dan membenarkan perhimpunan aman yang terkawal dengan menggubal Akta Perhimpunan Aman 2011.

“Kita tidak takut pada suara yang berbeza sebab kita tidak boleh nak menyamakan semua pandangan orang…semua orang ada pandangan tertentu, kita tak takut.

“Inilah yang kita khuatir apabila berlaku perhimpunan ramai-ramai begitu akan berlaku ‘mob psychology’, satu keadaaan di mana orang baik boleh jadi garang, orang lembut jadi kasar, yang tak menjerit jadi menjerit, yang nak aman jadi huru-hara,” kata beliau.

Oleh sebab itu kerajaan membenarkan perhimpunan aman di tempat yang terkawal umpamanya stadium dan dalam hal ini pihak berkuasa telah menawarkan beberapa tempat seperti Stadium Merdeka, Stadium Nasional Bukit Jalil, Stadium Titiwangsa tetapi tidak dipersetujui oleh penganjur yang berkeras mahu menunjuk perasaan di Dataran Merdeka, katanya.

Tiada ulasan: