Isnin, 14 Mei 2012

Tiada masalah yuran naik jika pendidikan percuma

Hazayani Zakaria,
KUALA LUMPUR: Keputusan Kerajaan Negeri Kedah menaikkan yuran pengajian di Kolej Universiti Insaniah (Kuin) tidak akan membebankan pelajar sekiranya Pakatan Rakyat memerintah Malaysia.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, yuran yang tinggi tidak akan membebankan pelajar kerana keseluruhan kos pendidikan akan ditanggung oleh Kerajaan Pusat.

"Isu kenaikan yuran tidak berbangkit. Pakatan Rakyat tetap berpendirian akan memberi pendidikan percuma.

"Bila konsep pendidikan percuma, yuran tetap akan ada selepas ini. Tapi yang akan tanggung ialah Pakatan Rakyat apabila menjadi Kerajaan Pusat melalui peruntukan khas," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, jalan Raja Laut, dekat sini, semalam.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga berkata, Kuin adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri yang tidak mempunyai pendapatan yang tinggi seperti Kerajaan Pusat.

"Isu kenaikan yuran Kuin di kedah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri yang tidak mempunyai pendapatan yang lumayan seperti Kerajaan Pusat. Semua itu akan diatasi apabila Pakatan Rakyat memerintah Malaysia," katanya.

Minggu lalu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, isu kenaikan yuran hanya melibatkan pengambilan pelajar baru dan pelajar lama tidak akan terjejas sehingga mereka menamatkan pengajian kelak.

Menurutnya, Kuin adalah universiti yang mengenakan yuran paling rendah kepada pelajar, malah pernah ditegur Kementerian Pelajaran kerana keadaan ini dikhuatiri akan menjejaskan pentadbiran universiti.

Tiada ulasan: