Selasa, 29 Mei 2012

Sokongan terhadap PAS di Putrajaya meningkat

Harakahdaily,


PUTRAJAYA: Sejak akhir-akhir ini, sokongan rakyat terhadap PAS khususnya kakitangan awam yang menetap di Putrajaya dilihat sangat memberangsangkan.

Biarpun Putrajaya terkenal sebagai pusat pentadbiran kerajaan persekutuan di mana masyarakatnya majoriti kakitangan awam, namun mereka kini tidak lagi takut untuk mendekati PAS.

Sabtu lalu, masyarakat Putrajaya mengambil peluang mengenali PAS secara lebih dekat sempena lawatan rasmi PAS Pusat di sana.

Menurut Yang DiPertua PAS Putrajaya Mohd Nazir Zakaria, sambutan yang menggalakkan dikalangan masyarakat menunjukkan PAS bukan asing pada mereka.

"Ini membuktikan yang PAS sudah bertapak di hati mereka dan sokongan terhadap PAS di Putrajaya pada hari ini telah meningkat hampir 5 kali ganda berbanding tahun 2011.

"Perkembangan ini sangat baik yang memberi satu gambaran yang jelas tentang keupayaan PAS dan Pakatan Rakyat untuk mara ke Putrajaya," katanya.

Terdahulu, lawatan tersebut adalah anjuran bersama Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan bersama PAS Kawasan Putrajaya.

Antara Pimpinan PAS Pusat yang hadir sempena program ini ialah Setiausaha Majlis Syura PAS Pusat Ustaz Nik Zawawi, dan Pengarah Jentera Pilihanraya PAS Pusat Dr. Hatta Ramli.

Pimpinan tertinggi PAS Putrajaya pula ialah YDP PAS Putrajaya Mohd Nazir Zakaria, Timbalan YDP Kamaruzaman Mohamad merangkap Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.

Selain petugas PAS Putrajaya, program ini dibantu oleh petugas-petugas dari Bandar Tun Razak, Cheras dan Segambut.

Program dimulakan dengan solat Maghrib secara berjemaah di Surau Al-Mizan, Presint 8 dan diikuti dengan tazkirah Maghrib yang disampaikan oleh Ust. Nik Zawawi.

Selepas solat Isyak yang diimamkan sendiri oleh Ustaz Nik Zawawi, rombongan peserta telah beramai-ramai ke Medan Selera Presint 9 untuk acara seterusnya.

Acara dimulakan dengan ceramah santai yang dikendalikan oleh Kamaruzaman Mohamad dengan ucapan dimulakan oleh Dr. Hatta.

Beliau telah menyeru kepada semua penduduk Putrajaya supaya memberikan peluang kepada PAS untuk menang di Putrajaya dan seterusnya mentadbir Malaysia.

Di dalam ucapannya, beliau turut mengucapkan takziah kepada peserta yang kemalangan dalam acara perlumbaan sempena Karnival Hari Belia di Putrajaya.

Ucapan seterusnya disampaikan oleh Ustaz Nik Zawawi. Beliau telah mengingatkan para hadirin bahawa hanya Islam sahaja yang mampu menyelamatkan negara Malaysia yang kian parah ini.

Program diakhiri dengan para pimpinan mengambil kesempatan untuk bersalaman dengan para hadirin yang menjamu selera di medan selera tersebut.

Tiada ulasan: