Sabtu, 26 Mei 2012

PKR mahu Umno kecam insiden serang ceramah Anwar

Jamilah Hamzah

PETALING JAYA - PKR menggesa Umno sama-sama mengecam tindakan samseng dan mengatakan tidak kepada politik samseng yang menular ekoran insiden membaling batu dan telur ke arah lokasi ceramah dihadiri Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kerincih, Kuala Lumpur malam tadi.

PKR turut mengandaikan sekiranya kerajaan gagal untuk menghalang gejala samseng politik ini, Umno dikatakan melampaui batas dan melanggar garis panduan dengan menyokong tindakan deklarasi perang terhadap rakyat.

Kenyataan itu dibuat ekoran insiden membaling batu dan telur ke atas Ceramah Perdana Keadilan Lembah Pantai, yang berlangsung di pekarangan Apartmen Pantai Permai malam tadi, kira-kira jam 11 malam ketika Anwar sedang berucap.

Laporan media mendakwa serangan dilakukan oleh  sekumpulan orang yang didakwa sebagai ahli Umno.

Tindakan provokasi terhadap orang awam telah dilempar dengan batu, telur dan botol mineral yang menyebabkan dua orang tercedera.

"Jika Umno enggan bersama membanteras politik samseng ini, mereka seperti memberi restu untuk semua tindakan ganas serang rakyat dan bunuh demokrasi yang diperjuangkan.

"Kami juga seru semua rakyat terutamanya parti politik lain supaya tolak dengan menyeluruh politik samseng ini," kata Nurul Izzah pada sidang media tengah hari tadi.

Nurul Izzah turut berkata, beberapa laporan telah dibuat meminta tindakan diambil dengan seadilnya tanpa mengira sesiapa.

"Orang yang bersalah perlu dikenakan tindakan tidak kira siapa mereka dan tindakan mestilah adil," kata beliau yang juga Naib Presiden PKR.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua berkata, seolah-olah ada rancangan tertentu untuk menghangatkan suasana politik dengan menggunakan cara yang salah dan bertentangan dengan undang-undang.

"Saya merasa seolah-olah ada rancangan untuk panaskan isu politik dengan mengguanakan cara samseng bukan hanya semalam, tapi di mana-mana tempat ceramah PKR pada masa sekarang," kata beliau yang juga Naib Presiden PKR.

Tiada ulasan: