Khamis, 17 Mei 2012

Pas sah letak calon di Johor dan Sarawak, negeri lain diteliti

Wartawan Sinar Harian

Hu Pang Chaw
 
 
KUALA LUMPUR - Pas bersetuju meletakkan calon dari kalangan bukan Islam mewakili parti itu bertanding di Sarawak dan Johor pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong Pas, Hu Pang Chaw berkata, dua kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) kawasan Tiram, Johor, dan satu kerusi Parlimen di Sarawak.

"Perkara ini sudah dipersetujui Pas pusat. DHPP memang meminta Pas pusat meletakkan calon dari sayap DHPP di satu kerusi setiap negeri, tidak kira sama ada kerusi Parlimen ataupun Dun.

"Tetapi perkara ini masih dalam peringkat perbincangan. Keputusan akhir bergantung kepada Pas pusat," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

DHPP adalah sayap kepada Pas, yang mewakili penyokong mereka di kalangan bukan Melayu dan bukan Islam.

Pang Chaw berkata, dalam usaha meletakkan calon dari sayap DHPP, mereka memerlukan strategi bagi memastikan kemenangan kerana tidak ada faedahnya meletakkan calon dari kalangan anggota DHPP kalau tidak menang.

Sebagai contoh, meletakkan calon Pas daripada kalangan DHPP di kawasan yang majoriti pengundi orang Melayu akan meletakkan parti itu dalam keadaan sukar untuk mencapai kemenangan, katanya.

Pang Chaw berkata, senarai calon dari sayap DHPP akan dihantar kepada Pas pusat melalui Pas negeri, dan setakat ini, calon untuk Kedah, Perak, Selangor, Johor dan Sarawak telah dikenal pasti.

Pada pilihan raya umum 2008, Pas meletakkan seorang calon dari kaum India untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Tiram di Johor, dalam kawasan Parlimen Johor Bahru.

Bagaimanapun, calon berkenaan, R Kumutha, tewas kepada Maulizan Bujang dari Barisan Nasional (BN). - Bernama

Tiada ulasan: