Isnin, 21 Mei 2012

Pas anjur Ijtimak Pilihan Raya ganti muktamar

Wartawan Sinar Harian

SHAH ALAM - Pas yang memutuskan untuk  menangguhkan muktamar tahunan akan mengadakan Ijtimak Pilihan Raya dan Munajat Perdana di Stadium Darul Aman, Alor Star, 1 Jun ini.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ijtimak bermula dengan satu taklimat tertutup kepimpinan tertinggi parti seluruh negara dan wakil rakyat-wakil rakyat bersama Presiden bermula jam 10 pagi di Kompleks PAS negeri.

Katanya, Munajat Perdana akan dipimpin sendiri oleh Murshidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat manakala amanat presiden akan menjadi acara kemuncak ijtimak dan berakhir dengan pembacaan ikrar oleh seluruh ahli Pas sebagai ba'iah dan janji setia bagi menggarap usaha bagi mencapai kemenangan.

"Ijtimak kali ini juga akan disertai oleh  beberapa tokoh besar yang menyatakan kesediaan untuk turut sama bergabung dalam Pas.

"Mereka akan diisytihar secara rasmi bagi menyatakan ikrar dan sokongan mereka kepada parti," katanya lagi.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya Pas Pahang berkata, seluruh kepimpinan parti perlu membuat persiapan awal bagi memastikan matlamat himpunan lebih 100,000 ini mencapai kejayaan.

"Setiap ahli perlu mengambil inisiatif sendiri untuk hadir dalam himpunan perdana ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tiada ulasan: