Rabu, 16 Mei 2012

Najib: Tunku Aziz 'seorang lelaki sangat berprinsip'

SINAR HARIA

Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.
 
Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.
 
 
LONDON - Peletakan jawatan Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim dalam DAP menunjukkan bahawa parti itu, yang kononnya demokratik, tidak memberi ruang kepada perbezaan pendapat dalam parti, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini.

Walaupun tidak mengenali Tunku Abdul Aziz secara peribadi, beliau percaya Tunku Abdul Aziz adalah "seorang lelaki yang sangat berprinsip".

Najib berkata, apabila prinsip yang dipegang itu tidak dihormati pihak tertentu iaitu DAP, tidak ada jalan lain baginya (Tunku Abdul Aziz) selain meletakkan jawatan.

"Pada kesudahannya, Tunku Abdul Aziz lebih mementingkan maruah dirinya kerana beliau merupakan seorang yang berpegang kepada prinsip," katanya kepada wartawan Malaysia hari ini.

Beliau berkata Tunku Abdul Aziz mempunyai perbezaan pendapat berhubung demonstrasi jalanan yang beliau percaya boleh membawa kepada huru-hara dan kerosakan harta benda, dan kerana itulah beliau tidak bersetuju dengan tindakan sedemikian.

"Tapi nampaknya parti DAP tidak memberi ruang pada perbezaan pendapat dalam parti yang menggelarkan diri mereka parti demokratik," kata Najib.

Tunku Abdul Aziz mengumumkan keluar parti dan melepaskan jawatannya dalam DAP semalam.
Beliau dilantik sebagai Naib Pengerusi DAP sebaik menyertai parti itu pada 2008.

Tunku Abdul Aziz dilaporkan sebagai berkata beliau tidak mempunyai pilihan kecuali berundur secara terhormat berikutan tiada persefahaman dengan kepimpinan parti itu.

Tiada ulasan: