Sabtu, 26 Mei 2012

Mukhriz bakal jadi MB Kedah?


KL TODAY
 
Ketika Barisan Nasional (BN) sedang membuat persiapan merampas Kedah, tumpuan diberikan kepada Datuk Mukhriz Mahathir yang akan mengetuai cabaran mendapatkan kembali negeri itu kembali daripada Pakatan Rakyat.Ada sumber yang menjangka Datuk Mukhriz bakal dilantik sebagai Menteri Besar kerana Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah yang berusia 48 tahun itu akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya umum ke-13.

Ketika ini, beliau memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Ahli Parlimen Jerlun.

Langkah memilih calon BN yang layak memegang jawatan Menteri Besar adalah penting kerana peluang bagi mereka menawan kembali negeri itu sangat cerah.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata kerajaan Pakatan Rakyat (PR) dilihat sangat lemah menghadapi pelbagai konflik dalaman serta kegagalan mereka memenuhi apa yang rakyat mahukan di negeri itu.

Bukan itu sahaja, perpecahan dalam Parti Islam SeMalaysia (PAS) Kedah dan kerajaan negeri sangat jelas apabila Exco Kerajaan Negeri, Datuk Phahrolrazi Zawawi, dan Dr Ismail Salleh mahu mengambil alih kepimpinan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak, atas alasan tahap kesihatannya yang tidak mengizinkan, gagal dilakukan.

Parti Tindakan Demokratik (DAP) juga dilihat tidak bersetuju dengan tindakan PAS apabila mereka mengambil keputusan sepihak dengan menutup sebuah rumah penyembelihan tidak sah di Alor Setar.

Masyarakat Cina turut kecewa apabila kerajaan negeri mengambil keputusan melarang pusat hiburan dibuka sepanjang Ramadan.

Selain itu, kerajaan negeri dikatakan meningkatkan tarif air sebanyak 100 peratus berbanding dua tahun lalu walaupun Pakatan Rakyat telah berjanji mengurangkannya untuk memancing undi.

Turut berlaku pergeseran berkenaan dengan peruntukan kerusi antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat.

PAS yang memenangi 16 kerusi DUN dalam pilihan raya umum yang lalu bertegas mahu bertanding di 23 kerusi yang mereka tandingi pada 2008.

DAP yang hanya memenangi satu kerusi pula dilihat berminat dengan kawasan di selatan Kedah yang kini dipegang Parti Keadilan Rakyat (PKR). Bagaimanapun, PKR enggan memberikan laluan kepada DAP.

PKR kini mempunyai tiga kerusi di Kedah apabila dua daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)nya menjadi wakil rakyat Bebas.

“Rakyat bosan dengan apa yang berlaku, mereka sedar Barisan Nasional masih lagi parti yang terbaik membawa pembangunan dan kemajuan ekonomi,” kata Tengku Adnan yang dilaporkan dalam The Star.

Walaupun Datuk Mukhriz merupakan pilihan utama, terdapat beberapa calon berpotensi termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, dan seorang tokoh korporat.

“Perdana Menteri akan membuat keputusan berdasarkan maklum balas yang diterima daripada pelbagai sumber selepas melihat siapa calon yang paling disukai oleh rakyat. Pemilihan calon boleh mengejutkan semua orang.

“Calon itu mungkin muka baru dan orang muda. Dia juga boleh dipilih dikalangan ahli parti atau orang luar. Apa yang penting, calon itu tidak mempunyai skandal dan rahsia-rahsia tersembunyi.

“Kami sedar golongan belia di negeri itu mahu seorang pemimpin yang berkebolehan seperti Mukhriz,” katanya.

Tiada ulasan: