Rabu, 2 Mei 2012

Majlis Peguam timbang tindakan undang-undang

Majlis Peguam mempertimbangkan untuk mewakili peserta perhimpunan BERSIH 3.0 untuk mengambil tindakan undang-undang atas dakwaan keganasan yang dilakukan ke atas mereka.

Presidennya Lim Chee Wee tidak memperincikan bila tindakan itu akan diambil namun menegaskan bahawa ia akan dibuat secepat mungkin selepas Majlis Peguam menyiapkan laporan pemerhatiannya dalam isu keganasan ke atas peserta berkenaan.

NONE"Saya perlu merujuk ahli (Majlis Peguam dahulu), kumpulkan ahli secukupnya untuk menemubual semua mangsa pencabulan hak asasi manusia, memohon inkuiri Suhakam dan mungkin mengambil tindakan undang-undang," katanya.

Menurutnya, tindakan undang-undang itu adalah sebahagian daripada tiga pilihan yang akan diambil Majlis Peguam berkenaan isu keganasan terhadap peserta BERSIH 3.0

"Kami tentunya mahu berbincang dengan polis dan sampaikan perkara yang pemerhati kami lihat dan rasa berlaku pada hari itu," kata Lim.

Lim menegaskan bahawa dakwaan keganasan yang dilakukan polis itu membuktikan bahawa kerajaan perlu menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC).

Tahanan dinafikan peguam
Menurutnya, jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak langkah itu perlu dilakukan sekiranya kerajaan benar-benar serius untuk melakukan transformasi.

"Najib mungkin berniat mahu mentransformasikan negara tetapi institusi (kepolisan) tidak sehaluan dengan niat beliau," katanya.

NONEDalam sidang media sama, seorang lagi ahli jawatankuasa Majlis Peguam, Syahredzan Johan berkata polis menafikan akses peguam kepada tahanan BERSIH yang ditempatkan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) pada 28 April lalu.

"Sehingga semua mereka dibebaskan pada jam 5 pagi, kami (peguam) tidak dibenarkan menemui mereka," katanya yang sampai ke PULAPOL semenjak jam 5.40 petang lagi.

Beliau juga mendakwa ketua polis negara "berbohong" apabila menyatakan bahawa peguam bebas untuk bertemu tahanan pada hari itu.

"Ini bertentangan dengan Seksyen 28(a) Kanun Keseksaan dan juga Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

"Ia amat ironis apabila polis mengingatkan peserta BERSIH agar mematuhi undang-undang namun apabila tiba giliran mereka, ia diabaikan tanpa sebarang rasa bersalah," katanya.

Tiada ulasan: