Exco kerajaan Selangor Dr Xavier Jayakumar memohon kepada MIC supaya menyerahkan tiga ekar tanah yang diberikan oleh pemaju untuk Sekolah Kebangsaan Jenis Tamil Effingham, kepada kerajaan Selangor.

Xavier berkata, kerajaan negeri sanggup membayar balik cukai premium tanah hampir RM3 juta yang ditanggung parti itu sebelum ini.

 Keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat exco kerajaan negeri hari ini, katanya yang juga pengerusi jawatankuasa kesihatan, kerja ladang, kemiskinan dan kerajaan prihatin.

"Mesyuarat exco telah memutuskan supaya MIC mengambil perhatian, bahawa sekolah itu penting untuk kaum India dan murid-murid (kerana) kawasan (sekolah) tidak cukup tanah.

"(Oleh kerana itu) kita minta MIC serah tiga ekar tanah itu kepada kerajaan Selangor, untuk diberikan kepada sekolah Effingham, " katanya.

Dr Xavier yang juga ADUN Sri Andalas berkata tujuan tanah itu diserahkan kepada kerajaan negeri bagi membolehkan ia diwartakan untuk kegunaan sekolah berkenaan.

Semalam MIC dilapor bersetuju meneliti tuntutan kumpulan yang menganjurkan mogok lapar kerana mahu parti itu memulangkan tanah itu kepada sekolah itu di Bandar Utama, Petaling Jaya.

Mogok lapar itu adalah inisiatif Pasukan Bertindak Pulangkan Tanah Effingham (Reflax), yang terdiri daripada ahli alumni sekolah berkenaan, ibubapa dan guru-guru yang menuntut MIC memulangkan tiga ekar tanah milik sekolah tersebut.

Mereka berkata tanah tersebut telah diperuntukkan untuk sekolah itu tetapi MIC telah mengambil separuh daripada plot tersebut untuk kegunaannya sendiri.