Rabu, 16 Mei 2012

Budak diculik 12 jam ditemui

POLIS mengiringi suspek (kanan) yang disyaki terlibat menculik Purani bagi mendapatkan perintah tahanan reman di Bukit Mertajam semalam.

BUKIT MERTAJAM - Seorang ibu mengalami detik mencemaskan apabila anak perempuannya yang berusia sembilan tahun diculik seorang kenalan wanitanya selama hampir 12 jam.

Dalam kejadian tengah hari kelmarin, V. Kareda, 32, menyedari anaknya, T. Purani tidak pulang ke rumah selepas tamat waktu persekolahan.

Kareda yang ditemui semalam berkata, anaknya yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan Khir Johari di sini, sepatutnya pulang ke rumah menaiki sebuah van sekolah tetapi sehingga pukul 3 petang hari kejadian, Purani masih belum tiba.

"Selepas ibu saya beritahu yang Purani belum lagi pulang, saya pergi bertanya pemandu van berkenaan dan diberitahu anak saya telah dijemput seorang wanita yang menaiki kereta jenis Proton Saga berwarna hitam di hadapan sekolah.

"Saya percaya anak saya telah dilarikan oleh seorang rakan yang saya kenali," katanya dengan memberitahu Purani merupakan anak keempat daripada lima beradik.

Jelasnya, dia percaya rakannya itu melarikan anaknya disebabkan dendam kerana dia pernah memarahi wanita itu sebelum ini.

Tiada ulasan: