Ahad, 27 Mei 2012

2 mesin ATM dipecah, rugi ratusan ribu ringgit

UTUSAN ONLINE

KUALA LUMPUR- Dua mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dipecah penjenayah dalam dua kejadian berasingan di Balakong, Kajang dekat sini dan Pantai Dalam, Brickfields di sini, pada tengah malam tadi dan hari ini, mengakibatkan kerugian dianggarkan melebihi ratusan ribu ringgit.

Dalam kejadian di Pantai Dalam, sebuah ATM milik AmBank disedari dipecah penjenayah semasa seorang juruteknik melakukan pemeriksaan ekoran laporan terdapat gangguan teknikal pada mesin tersebut, pukul 12.40 tengah hari ini.

Pekerja itu menghubungi pegawai bertugas, Rahim Nasir, 29, yang tiba ke lokasi kejadian kira-kira 20 minit kemudian.

Rahim berkata, suspek dipercayai masuk melalui pintu bilik kaca yang menempatkan sebuah mesin ATM Bank RHB yang terletak bersebelahan lalu mengumpil pintu papan yang menghubungkan bilik menempatkan bahagian belakang mesin ATM AmBank.

“Suspek kemudian menggunakan gerudi untuk memecahkan dinding konkrit yang menempatkan mesin ATM AmBank sebelum memecahkan mesin tersebut dan melarikan wang di dalamnya.

“Penjenayah ini dipercayai profesional kerana mempunyai kemahiran mematikan alat penggera yang dipasang di sekitar peti besi itu," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Dalam pada itu, difahamkan kejadian dilakukan pada waktu malam dan mesin ATM berkenaan tidak dipecahkan seperti kes-kes jenayah samun ATM sebelum ini.

Terdapat sebuah lagi mesin ATM ditempatkan bersebelahan mesin ATM yang disamun namun, tiada laporan kehilangan wang daripada mesin tersebut.

Menurut sumber, hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati terdapat seorang lelaki berpakaian baju T berwarna merah memasuki pintu tersebut sebelum melakukan jenayah itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 395 kerana melakukan samun.

Tiada ulasan: