Selasa, 3 April 2012

Zaiton Sameon kembali menyanyi

Wartawan Sinar Harian

Zaiton Sameon kembali menyanyi

SELEPAS 22 tahun tidak mengadakan persembahan, penyanyi terkenal era 80-an, Zaiton Sameon bakal muncul dengan konsert amal yang akan diadakan di Dataran Sungai Kerang, Pantai Remis, Perak 7 April ini.

Konsert amal ini bakal mengembalikan nostalgia peminatnya dengan alunan 10 lagu yang diambil daripada albumnya terdahulu yang popular termasuk Menaruh Harapan, Kabut Serangkai Mawar, Siti Payung, Perigi Biru, Hound Dog nyanyian asal Elvis Presley dan Black Magic Woman nyanyian Santana.

Konsert Amal Tabung Kebajikan Zaiton Sameon ini dijadualkan bermula jam 8.30 malam dan berakhir11.30 malam serta turut menyaksikan barisan artis terkenal seperti Ali Terra Rossa, Bagio Damasutra dan Farhana Jalil
hadir memeriahkan konsert tersebut.

Menurut Zaiton yang ditemui semasa sidang media konsert itu, kemunculannya mengadakan konsert adalah bagi membuktikan dirinya masih boleh menyanyi biarpun sekian lama tidak beraksi di pentas.

“Selepas kemalangan itu, tidak ramai yang yakin akan kemampuan saya untuk kembali menyanyi. Jadi menerusi konsert amal yang diadakan ini, saya ingin membuktikan kepada orang ramai dan penganjur bahawa saya
masih mampu menyampaikan lagu dengan baik,” katanya yang begitu teruja untuk kembali menyanyi.

Konsert amal Kebajikan Zaiton Sameon ini merupakan konsert percuma yang dilakukan atas usaha pihak Persatuan Karyawan Malaysia bagi membantu meringankan beban penyanyi berusia 55 tahun ini yang sekian
lama hilang punca pendapatan setelah mengalami kemalangan ngeri yang turut meragut nyawa anaknya.

Peminat yang ingin membantu boleh terus menderma ke akaun BSN Zaiton binti Sameon:14192-41-00003343-0.

Tiada ulasan: