Rabu, 25 April 2012

Umno mahu Pas tarik balik 'amanat Hadi'

RAHAYU MUSTAFA

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Datuk Rosol Wahid
KUALA TERENGGANU – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Datuk Rosol Wahid mahu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengembalikan semula perpaduan umat Islam di negara ini dengan menarik balik amanat Haji Hadi yang dikeluarkan pada 1981.

Wakil rakyat Barisan Nasional bagi kawasan Ajil itu berkata, Abdul Hadi, yang juga Ahli Parlimen Marang, perlu turun ke semua kawasan yang masih lagi mengamalkan dua solat Jumaat dalam satu qariah dan memperbetulkan keadaan kerana semua itu dikatakan berpunca daripada amanat beliau di Banggol Peradong, di sini.

Umno sudah banyak kali membuat gesaan sedemikian.

“Bersetuju atau tidak, saya bagi pandangan dalam dewan ini kerana perpecahan itu bermula dari Pas, kita minta wakil Rhu Rendang pergi ke kawasan yang masih berlaku perpecahan dan tarik balik amanat itu.

“Kalau setuju kita minta keputusan Dewan,” katanya ketika Muhammad Ramli Nuh (BN-Tepoh) membahaskan titah ucapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun), semalam.

Cadangan itu kemudiannya disokong Muhammad Ramli kerana menganggap perpecahan sudah sekian lama berlarutan berikutan sikap penyokong pembangkang enggan berimamkan dan gunakan khidmat jurunikah dilantik oleh kerajaan.

Keengganan itu didorong oleh fatwa dikeluarkan pemimpin mereka yang mengatakan berimamkan orang Umno tidak sah.

“Kita setuju sangat, sudah lama kita minta dia (Abdul Hadi) pergi demi perpaduan Islam, molek, saya setuju,” katanya.

Sementara itu, Kerajaan Negeri menyatakan kesediaan untuk menerima penarikan amanat tersebut kerana masalah dua solat Jumaat dalam satu kariah itu memang berlaku akibat fatwa Abdul Hadi 30 tahun lalu.

Bagaimanapun kata Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat (BN-Batu Rakit), sehingga kini tiada perbincangan dilakukan kerajaan dengan Abdul Hadi mengenai perkara itu.

“Amat baik sekali lah jika wakil Rhu Rendang cuba membetulkan semula perkara ini kerana mengikut laporan yang diterima daripada Maidam (Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu) mengenai dua sembahyang Jumaat dalam satu mukim, sebahagian besar yang ditemui mengatakan mereka terikut dengan apa yang difatwa oleh pemimpin (Abdul Hadi) mereka pada masa lalu,” katanya.

Khazan berkata demikian menjawab soalan tambahan dikemukakan Nawi Mohamad (BN-Hulu Besut) yang ingin tahu sama ada benar Kerajaan Negeri ada berjumpa Abdul Hadi bagi menarik balik amanat dikeluarkannya sebelum ini.

Terdahulu, Khazan memaklumkan kerajaan telah melakukan pelbagai usaha untuk mengatasi masalah dua solat Jumaat dalam satu qariah termasuk memberi penerangan mengenai hukum tindakan itu.

Beliau berkata, ada sesetengah masjid juga sudah diberikan kelulusan untuk dibenarkan mendirikan sembahyang Jumaat walaupun dalam satu kampung apabila kampung itu besar, penduduk ramai dan jarak antara masjid bersesuaian.

Katanya, kerajaan melalui Maidam turut menubuhkan Jawatankuasa Khas Penyatuan Jumaat dalam Satu Mukim dan panelnya terdiri daripada pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) bagi menjalankan kajian terperinci mengenai punca dan cadangan menyelesaikan masalah itu.

“Bagaimanapun jawatankuasa ini baru diwujudkan, sebahagian hasil perbincangan dan kajian belum sesuai untuk dibentangkan dalam sidang dewan kali ini,” katanya.

Sementara itu, Abdul Hadi ketika ditemui di luar dewan berkata beliau tidak perlu menjawab isu itu kerana muzakarah mengenainya pernah dicadangkan pada tahun 1984 namun ditolak oleh Umno peringkat pusat.

“Pas sudah sedia hadir muzakarah, Ngo Islam juga bersedia menjadi orang tengah tetapi Umno tidak hadir. Tahun 1984, kita sanggup hadir tapi dibatalkan,” katanya.

Tiada ulasan: