Isnin, 2 April 2012

T'ganu didesak teruskan pinjaman pelajar di Mesir

MALAYSIA KINI

Gerakan Gerakan Mahasiswa Pantai Timur (GEMPUR) bersama wakil Mahasiswa Yayasan Terengganu telah menghantar memorandum bantahan berhubung penarikan pinjaman sembilan mahasiswa Terengganu yang kini menuntut di Mesir.

Kerajaan Terengganu dilaporkan telah menarik balik pemberian pinjaman kepada mereka selepas didapati terlibat dalam perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu dan perhimpunan membantah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) awal tahun ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Presiden GEMPUR, Syahmi Hazim Ithnin berkata, berlaku penindasan dan kezaliman serta ketidakadilan dalam keputusan Kerajaan Negeri Terengganu membatalkan pinjaman kepada mahasiswa terbabit.

Berikutan itu, GEMPUR menuntut supaya tindakan membatalkan pinjaman terhadap mahasiswa terbabit, ditarik semula serta merta.

"GEMPUR menuntut agar kerajaan negeri Terengganu lebih profesional dalam membuat sebarang keputusan dengan memberikan keutamaan kepada rakyat serta mendengar segala keluhan rakyat bawahan," kata Syahmi.

GEMPUR juga, tambahnya, menuntut agar Yayasan Terengganu tidak dijadikan instrumen politik bagi mendiskriminasi rakyat yang tidak selari dengan agenda kerajaan negeri.

"Yayasan Terengganu perlu menjadi badan pembela kepada seluruh lapisan rakyat selagimana mereka masih bergelar rakyat yang berasal dari Terengganu," tambahnya.

GEMPUR memberi tempoh selama seminggu untuk kerajaan negeri Terengganu memberikan respon dan keputusan terhadap tuntutan tersebut.

"Jika tidak kami akan terus mendesak dan mengumpulkan solidariti yang lebih ramai bagi membela nasibs sembila mahasiswa Terengganu terbabit," tambahya.

Menurut Syahmi, berlaku sedikit pertikaman lidah di hadapan Wisma Darul Iman, antara delegasi GEMPUR dan bahagian keselamatan wisma. Akhirnya pihak wisma hanya membenarkan tiga wakil sahaja untuk naik ke bangunan wisma bagi menghantar memorandum bantahan.

"Pihak kerajaan negeri Terengganu telah mewakilkan penasihat agama kepada menteri besar untuk menerima memorandum bantahan meskipun pada awal kami telah menyatakan bahawa GEMPUR mahu menyerahkan memorandum bantahan hanya kepada menteri besar atau exco pelajaran dan pengajian tinggi negeri Terengganu. Malangnya tuntutan kami tidak dilayan," katanya.

Akhirnya, kata Syahmi, mereka akur untuk menyerahkan memorandum bantahan kepada penasihat agama menteri besar meskipun mereka mempertikaikan kapasiti kuasa dan bidang beliau untuk menerima memorandum.

Setelah penyerahan memorandum dilakukan, Syahmi mendakwa, penasihat agama menteri besar itu telah mempersoalkan berkenaan BERSIH dan didakwa mengeluarkan satu kenyataan yang menyerang keperibadian pengerusi BERSIH, Datuk S Ambiga.

Sambil menyifatkan tindakan pegawai tersebut sebagai tidak wajar dan tidak profesional, Syahmi berkata, GEMPUR mendesak beliau memohon maaf di atas kenyataannya yang didakwa tidak matang dan berfikiran sempit.

"Kami datang bukan untuk menimbulkan kekecohan, tetapi kami datang untuk mendapatkan penjelasan, bukan kenyataan yang bersifat rasis seperti itu," tegas Syahmi.

Tiada ulasan: