Rabu, 11 April 2012

Terhidu ammonia 27 masuk hospital, kalau Lynas...

MALAYSIA CHRONICLE


KUALA LUMPUR- "Ini baru kes terhidu gas ammonia, 27 orang di masukkan ke hospital. Kita tidak mahu kes di Lynas yang tentu-tentunya menghasilkan kesan lebih besar kerana mereka akan memproses bahan dengan menggunakan asid sulfurik," demikian luah Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat Zulkefly Mohd Omar .

Mengulas insiden kebocoran gas ammonia yang berlaku di Dungun 5 April lalu, Zulkefly berkata, ia jelas menunjukkan kelalaian serta penguatkuasaan yang longgar oleh pihak yang bertanggungjawab.

Katanya, kejadian terhidu gas ammonia yang dianggap tidaklah seteruk gas lain, namun penghasilan sisa yang banyak dari 'asid sulfurik' di Lynas nanti akan memberi kesan yang lebih dahsyat.

"Asid sulfurik digunakan sebagai bahan pencuci akan disalurkan ke sungai-sungai utama yang menjadi sumber utama penduduk tempatan menjejaskan hidupan sungai.

"Asid berkenaan akan menyerap ke tanah. Semua ini akan memberi kesan kepada tanaman di mana ia mengandungi radioaktif. Tidakkah akan memberi kesan yang lebih dahsyat kepada rakyat?" soalnya kepada Harakahdaily.

Tambahnya yang tidak mahu rakyat tempatan mengidap penyakit kritikal selepas ini, ekoran daripada kesan yang berlaku daripada kilang Lynas itu.

Sebelum itu, seramai 27 orang mangsa dikejarkan ke Hospital Dungun ekoran terhidu gas ammonia di kawasan perindustrian minyak dan gas utama di Kerteh pada 5 April lalu.

Kejadian itu melibatkan kakitangan kontraktor, Hyundai PFCE, yang sedang menjalankan kerja menyenggara di loji Petronas, terhidu gas sehingga menyebabkan mereka dihantar ke beberapa untuk mendapat rawatan.-Harakahdaily

Tiada ulasan: