Jumaat, 6 April 2012

Susulan PSC, SPR jumpa Ahli Parlimen 16 April

Wartawan Sinar Harian

logo PSC

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parlimen berpeluang untuk mengemukakan apa jua kemusykilan mereka berhubung perkara berbangkit mengenai proses pilihan raya terus kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 16 April ini.

Pertemuan itu diadakan dua minggu selepas Parlimen meluluskan tanpa bahas laporan akhir Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Penambahbaikan Pilihan Raya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, pertemuan itu antara lain akan dihadiri oleh Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR bagi menjawab segala soalan yang berbangkit.

"Semua Ahli Parlimen boleh mengutarakan apa jua soalan mengenai pilihan raya termasuk PSC pada pukul 1 tengah hari hingga semua berpuas hati," katanya.

Nazri juga berkata, SPR tidak seharusnya didesak, sebaliknya diberikan ruang dan masa untuk meneliti kesemua syor PSC sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

Nazri berkata, justeru semua pihak termasuk pembangkang diingatkan agar tidak memaksa SPR dan kerajaan untuk melaksanakan syor PSC sebelum Pilihan Raya Umum ke-13
akan datang.

"SPR sentiasa mengambil baik semua syor yang dikemukakan justeru terpulang pada SPR untuk mengambil tindakan terhadap laporan yang telah dibentangkan.
"PSC baru sahaja dua hari diluluskan makanya semua pihak perlu bersabar kerana apa yang SPR rasa mereka boleh laksanakan, mereka tentu akan terus melaksanakan dengan segera," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) yang bertanyakan mengenai maklum balas SPR dan kerajaan berhubung syor PSC itu pada sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2011) 2012 berkaitan Jabatan Perdana Menteri.

Ketika didesak oleh M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) yang mencelah sama ada Nazri boleh menjamin bahawa syor PSC akan dilaksanakan sebelum pilihan raya akan datang, beliau menjawab: "Saya tidak boleh jamin itu kerana ia bukan
di bawah kuasa saya.”

Katanya, tidak wajar untuk mana-mana pihak memaksa kerajaan supaya memenuhi hasrat mereka kerana ia bukan sesuatu yang menjadi amalan di negara ini.

"Apabila sesuatu kuasa khusus itu diberi kepada Perdana Menteri, kita tidak boleh anggap bahawa Perdana Menteri juga boleh lakukan perkara lain dan mengeluarkan arahan apa sahaja yang beliau mahu," katanya.

Nazri berkata, situasi ini juga jelas membuktikan SPR bukan ejen kerajaan seperti didakwa pembangkang kerana sebagai sebuah negara demokrasi, SPR hanya melaksanakan apa yang diluluskan oleh Dewan Rakyat.

Katanya, tidak wujud soal monopoli apabila akhbar arus perdana sering melaporkan aktiviti kerajaan terutamanya Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri kerana itu adalah liputan yang mempunyai nilai berita.

"Beliau adalah Perdana Menteri maka pihak akhbar sendiri berasakan aktiviti beliau perlu dibuat liputan dan tidak wujud monopoli kerana ia atas kehendak akhbar sendiri," katanya.

Tiada ulasan: