Sabtu, 21 April 2012

Scorpene: Najib, Rosmah sembunyi lantikan peguam?

Oleh: Rusnizam Mahat


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah berkata, tindakan boleh diambil terhadap peguam terkemuka Shafee Abdullah kerana didakwa melanggar etika peguam dan memberikan gambaran palsu kepada badan kehakiman.

Ia berhubung surat yang ditulis Shafee kepada Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim besar Malaya untuk menangguhkan semua kesnya dari 1 April hingga 25 April, atas alasan dilantik kerajaan untuk melaksanakan ‘satu tugasan sulit’ di luar negara.

Namun pelantikan itu kemudian dinafikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz.
“Itu merupakan satu pembohongan sebab Nazri Aziz ketika ditanya di dewan rakyat mengesahkan bahawa memang tidak ada pelantikan dibuat terhadap Shafee oleh kerajaan Malaysia.

“Ia merupakan salah laku peguam dan tindakan boleh diambil. Kerajaan Malaysia patut membuat aduan termasuk Majlis Peguam,” ujar Sivarasa yang menyatakan laporan polis boleh dibuat terhadap Shafee.

Nazri sebelum ini berkata, kerajaan tidak boleh melantik peguam untuk mewakili isteri Perdana Menteri.


Keadilan difahamkan, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor melantik Shafee atas kapasiti peribadi, bagi mewakili mereka dalam kes perbicaraan Scorpene di Perancis.

“Isu ini merupakan pengetahuan umum bahawa peguam Shafee Abdullah dilantik secara peribadi untuk menyelesaikan satu tugasan guaman di luar negara yang melibatkan perdana menteri dan isteri yang cuba dirahsiakan.

“Rakyat Malaysia perlu tahu dan kerajaan wajib menerangkan kepada rakyat. Ini kerana rakyat boleh buat kesimpulan ada sesuatu yang cuba diselindungi oleh PM dan isterinya,” kata Sivarasa yang juga pengamal undang-undang.

Tegasnya, pelantikan Shafee untuk persediaan perundangan sensitif melibatkan empat bandaraya termasuk di Paris, bagi mewakili kerajaan Malaysia dalam tugas sulit itu, adalah satu pembohongan.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan ia merupakan satu percubaan peguam itu untuk mempengaruhi hakim supaya semua kesnya ditangguhkan, bagi menyelesaikan ‘misi sulitnya’ di luar negara.

“Ungkapan yang penting ditulis dalam surat berkenaan ialah tugasan itu mesti disiapkan sebelum pilihan raya.

“Namun Nazri membuat penafian mengenai pelantikan itu. Ini bermakna peguam bagi gambaran palsu kepada tiga hakim apabila surat memberi gambaran tidak benar bahawa Shafee dilantik oleh kerajaan Malaysia,” katanya.

Tiada ulasan: