Ahad, 1 April 2012

Salahuddin 'kaji serius' 3 bahagian Parlimen

MOHD FIRDAUS YON

Salahuddin Ayub

JOHOR BAHRU - Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub, yang mengesahkan akan bertanding di Johor pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), mengakui beliau sedang mempertimbangkan dengan mendalam tiga bahagian Parlimen untuk dipilih - sama ada bertanding di peringkat pusat ataupun negeri.

Tiga kawasan yang dimaksudkan itu sudah tidak asing bagi Salahuddin iaitu Batu Pahat, Pulai dan kampung halamannya di Tanjong Piai.

Sama ada bertanding kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (Dun) ataupun kemungkinan kedua-duanya sekali akan diumumkan dalam waktu terdekat, kata beliau.

"Saya tidak boleh nafikan kerana ia adalah kawasan yang sedang saya lihat dengan serius.

"Tanjong Piai adalah tempat kampung halaman saya. Batu Pahat pula saya pernah tinggal di sana, manakala Pulai tidak asing pada saya kerana bersekolah dan mempunyai ramai kawan di sana.

"Tiada masalah bagi saya untuk bertanding di mana-mana satu kerusi ini. Kesemua kerusi ini dilihat menarik untuk saya bertanding," kata beliau kepada pemberita pada Majlis Makan Malam dan Dialog Wartawan di sini.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, satu sidang akhbar untuk memberitahu kerusi yang bakal ditandingi sama ada di peringkat Dun atau Parlimen akan diadakan dalam masa terdekat.

"Terima kasih kepada kepimpinan Pas Johor kerana mempelawa saya pulang ke negeri ini. Secara rasminya, saya nyatakan bahawa saya akan balik ke negeri ini untuk bertanding pada PRU akan datang.

"Itu adalah keputusan telah dibuat. Saya sudah sampaikan kepada pucuk pimpinan parti, malah lampu hijau sudah diberikan. Saya tidak mempunyai masalah jika pucuk pimpinan parti mahu saya bertanding di kerusi-kerusi yang saya sebutkan.

"Malah di Dewan Rakyat, dalam masa dua minggu ini, ramai menteri-menteri di kalangan Umno sendiri yang jadi 'tukang ramal' dan sudah ada 'spot' kerusi yang akan saya bertanding. Jadi, 'confirm' saya akan balik ke Johor," katanya.

Ditanya sama ada akan bertanding kerusi Dun atau Parlimen, Salahuddin mengakui tidak mempunyai masalah untuk bertanding di mana-mana kawasan, malah tidak menolak kemungkinan menjadi calon bagi kerusi DUN dan Parlimen sekali gus.

"Saya serahkan kepada Pesuruhjaya Pas negeri dan kepimpinan Pas serta Pakatan Rakyat di Johor untuk memutuskan. Saya akan memberi cadangan kepada kepimpinan kawasan yang difikirkan sesuai untuk bertanding," katanya.

Tiada ulasan: