Selasa, 3 April 2012

Safee Sali cerai isterinya talak satu

Norawazni Yusoff

safee sali & sabarina

SHAH ALAM - Penyerang kebangsaan Safee Sali bercerai talak satu dengan isterinya Sabarina Yusof, di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam.

Bagaimanapun, Safee seolah-olah melarikan diri dari media mengenai penceraiannya dan hanya Sabarina membuat pengesahan itu kepada media.

Kelibat jutawan bola sepak itu, pada awalnya kelihatan di pintu lif mahkamah, namun beliau terus memasuki kereta bersama peguamnya, Ahmad Nazeb Johari.

“Alhamdulilah semuanya sudah selesai, saya harap tiada spekulasi lagi antara kami berdua,” kata Sabarina yang ditemani peguamnya, Ezura Nashuha Abdul Hadi.

Ezura Nashuha menjelaskan, anak guamnya bercerai dengan Safee secara baik, selepas mendapat persetujuan daripada kedua-dua pihak.

“Safee dan Sabarina bercerai secara baik. Dia melafazkan talak satu terhadap Sabarina di hadapan Hakim Syarie. Mohammad Fouzi Mokhtar dalam satu prosiding tertutup,” katanya.

Ezura Nashuha berkata kedua-dua anak pasangan berkenaan Nur Syaza Syaqina, 4 dan Nur Syasya Sofirna, 2, diserahkan dalam jagaan Sabarina, manakala Safee memperoleh hak lawatan mengikut masa yang dipersetujui kedua-dua pihak.

Pada November tahun lalu Safee memfailkan perintah supaya Sabarina kembali taat kepadanya, bagaimanapun menarik semula perintah itu minggu lalu.

Beliau mewakili penyerang kelab Indonesia, Pelita Jaya menarik semula perintah itu untuk menyelesaikan kes di luar mahkamah.

Safee, 28, dan Sabarina mendirikan rumah tangga pada 2007 selepas berkenalan ketika pemain kelahiran Kajang, Selangor itu beraksi bersama Sarawak dalam saingan Liga Perdana.
Hasil pernikahan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata.

Safee kini meneruskan kariernya bersama kelab Pelita Jaya FC apabila memperoleh kontrak baru bernilai lebih RM2 juta daripada kelab itu untuk tempoh dua tahun lagi.

Sebelum ini, kontrak sulung pemain itu dengan Pelita Jaya FC yang ditandatangani Januari tahun lalu bernilai RM456,000 untuk tempoh setahun.

Tiada ulasan: