Ahad, 8 April 2012

Projek Persimpangan Bertingkat Seksyen 7 Dijangka Siap 2013



SHAH ALAM : Masalah kesesakan di Seksyen 7 di sini dijangka selesai apabila projek persimpangan bertingkat yang menghubungkan Lebuhraya Persekutuan dengan kawasan sekitar mual dibina 2 April lalu.

Persimpangan bertingkat bernila hampir RM46 juta itu adalah milik Perbadanan Menteri Besar Selangor atau MBI manakala Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor(PKNS) diamanahkan sebagai pengurus projek.

Projek ini dilaksanakan dengan perkongsian kos antara PKNS dengan 9 syarikat penswastaan dan usahasama serta dua pemaju lain iaitu i-City Properties Sdn Bhd dan IJM Properties.

Semalam, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melakukan lawatan kerja ke tapak projek berkenaan. Lawatan beliau ke tapak projek diiringi Pengurus Besar PKNS, Othman Omar dan barisan pengurusan kanan PKNS.

Menerusi satu kenyataan media, PKNS memaklumkan projek berkenaan mengambil masa 18 bulan untuk siap pada 30 September 2013.

“Projek ini bakal memberi impak baru kepada pertumbuhan kawasan terbabit di samping mengatasi masalah kesesakan lalulintas yang meruncing.

“Sebahagian jajaran sepanjang Persiaran Kayangan, Persimpangan Permai, Lebuh Keluli dan Persiaran Bestari dijangka menjadi laluan bagi 2,000 kenderaan sehari sahaja apabila projek ini siap kelak berbanding 3,000 kenderaan ketika ini,” kenyataan itu menyebut.

Tulis kenyataan itu lagi, projek ini bukan sahaja berjaya menarik minat pelabur serta pembeli hartanah ke kawasan sekitarnya, malah meningkatkan nilai hartanah kawasan terbabit. Selain itu, perkembangan industri pelancongan di Shah Alam juga akan bertambah rancak dengan kemudahan laluan selesa ke bandaraya Shah Alam serta ke lokasi rekreasi seperti i-City.

Tiada ulasan: