Selasa, 24 April 2012

Polis tahan 3 lelaki bantu siasatan kes serangan Dataran Merdeka

KOSMO




KUALA LUMPUR — Polis menangkap tiga lelaki dipercayai terlibat dalam kes serangan terhadap satu kumpulan yang sedang berkhemah secara haram di Dataran Merdeka pada Khamis lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata suspek berumur antara 20 dan 30 tahun itu ditangkap di Subang Jaya, kelmarin.

Tangkapan terbaru itu menjadikan jumlah yang ditahan setakat ini empat orang, katanya dalam kenyataan, di sini semalam.

Suspek pertama ditahan pada hari kejadian di Dataran Merdeka, sejurus selepas serangan.

Mohmad berkata tiga suspek terbabit terdiri daripada dua penganggur dan seorang tukang kimpal.

Kesemua suspek ditahan reman sehingga 25 April dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan (Merusuh), katanya.

Dalam kejadian awal pagi Khamis lepas, satu kumpulan yang menuntut pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mendakwa diserang sekumpulan yang tidak dikenali di Dataran Merdeka ketika berkhemah secara haram di situ.—BERNAMA

Tiada ulasan: