Isnin, 16 April 2012

Polis Sarawak perlu 1,000 anggota tambahan hadapi PRU 13

FREE MALAYSIA TODAY

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Sani Acryl Abdullah Sani berkata beliau ingin menempatkan tenaga tambahan di setiap daerah mengundi dari Lundu ke Lawas yang melibatkan 31 kawasan parlimen.



SIBU: Walau sudah bersedia, polis Sarawak memerlukan sekurang-kurangnya 1,000 pegawai dan anggota tambahan untuk memperkemaskan lagi persiapan menghadapi pilihan raya umum ke 13.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Sani Acryl Abdullah Sani berkata beliau ingin menempatkan tenaga tambahan di setiap daerah mengundi dari Lundu ke Lawas yang melibatkan 31 kawasan parlimen.

“Kami akan buat persiapan mengikut keperluan dan keadaan.

“Kami ada prosedur, perancangan dan strategi dari aspek keselamatan yang merupakan tanggungjawab utama kami,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan perlumbaan basikal bukit dari balai polis baru Sungai Merah di sini, hari ini.

Perlumbaan itu diadakan sempena sambutan Hari Polis Ke-205.

Mungkin guna RELA

Kira-kira 200 pelumba, termasuk dari Indonesia dan Thailand, menyertai perlumbaan sejauh 55km itu.

Acryl berkata beliau juga sedang menimbang untuk menggunakan khidmat anggota RELA dan Jabatan Pertahanan Awam sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi pilihan raya itu.

“Jumlah tenaga kami di negeri ini terdiri daripada lebih 8,000 pegawai dan anggota, termasuk daripada Pasukan Gerakan Am.

“Yang pasti, apabila tiba masa pilihan raya, ramai akan terlibat dengan proses memantau urusan penamaan calon, kempen serta pengundian dan kami ingin pastikan semuanya berjalan lancar, tanpa gangguan.

“Tapi, seperti biasa, kami juga memerlukan ramai anggota untuk manjalankan tugas dan tanggungjawab mencegah jenayah, mengawal lalu lintas dan menangani kes kecemasan.

“Sebab itulah kami perlukan tenaga tambahan itu,” kata beliau.Bernama

Tiada ulasan: