Rabu, 25 April 2012

PKR dakwa Mohamad Salleh pecah amanah

Wartawan Sinar Harian

Rafizi Ramli
PETALING JAYA – PKR mendakwa Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation (NFCorp), Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dan keluarganya mendapat kutipan sewa daripada hartanah yang dibeli dengan dana National Feedlot Kebangsaan (NFC) dan kemudian menyewakannya semula kepada NFC untuk mendapatkan pulangan yang tinggi.

Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli berkata, buktinya ialah dua premis utama operasi NFCorp dan sebuah restoran yang terletak di Solaris Mont Kiara.

“PKR mendapat rekod hak milik dan nilaian kedua-dua hartanah itu melalui carian rasmi dengan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) menunjukkan ia digunakan oleh NFCorp yang dimiliki oleh Mohamad Salleh dan anaknya, Wan Shahinur Izran Mohamad Salleh.

“Empat unit ruang pejabat yang digunakan oleh NFC dan syarikat bersekutu di Tingkat 3A, Jalan Solaris dimiliki bersama oleh Mohamad Salleh dan Wan Shahinur. Salah satu unit iaitu L-3A-3A berjaya dipadankan dengan carian harta JPPH atas nama Mohamad Salleh yang dibeli dengan harga RM814,550.

“Semakan pembayaran dari rekod kewangan NFCorp menunjukkan bahawa setiap bulan, dua pembayaran sewa pejabat dilakukan iaitu RM28,000 kepada Wan Shahinur dan RM8,240 kepada Mohamad Salleh,” katanya, semalam.

Beliau berkata, carian rasmi JPPH juga menunjukkan Wan Shahinur mempunyai dua ruang kedai iaitu unit 2 berharga RM8.4 juta dan unit 3 berharga RM5.7 juta.

“Ruang ini disewakan kepada Real Food Company (RFC) yang membayar sewa bulanan kepada Wan Shahinur Izran menggunakan dana RM250 juta yang dibiayai oleh rakyat,” katanya.

Rafizi berkata, walaupun beliau tidak mempunyai rekod kewangan terperinci bagi RFC dan syarikat bersekutu lain, Rafizi percaya Wan Shahinur mendapat bayaran sewa lumayan daripada dua ruang restoran yang dimilikinya.

Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mengambil sebarang tindakan untuk menghentikan penyelewengan wang rakyat walaupun pendedahan mengenai NFC dibuat selain mengumumkan pembekuan aset NFC.

“PKR akan buat laporan polis berikutan pendedahan ini supaya mereka disiasat kerana mungkin mereka pecah amanah dalam urusan sewa beli hartanahyang digunakan oleh NFC dan syarikat bersekutunya di Mont Kiara,” katanya.

Tiada ulasan: