Ahad, 1 April 2012

Pingat: Jangan Sesiapa Cuba Lobi Saya - Titah Sultan Johor

MSTAR ONLINE

KUALA LUMPUR: Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada malam Sabtu bertitah pengurniaan pingat dan darjah kebesaran negeri itu adalah kuasa mutlak raja yang memerintah.

Baginda bertitah pengurniaan itu adalah mengikut 'tilik pandang' baginda sendiri dan bukan cadangan daripada mana-mana pihak. "Oleh itu, janganlah ada sesiapapun yang cuba melobi saya dalam hal ini," titah baginda pada majlis Malam Johor Di Hatiku anjuran Persatuan Anak Melayu Johor (PAMJ) di sini.

Turut berangkat pada majlis santapan itu Sultanah Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga penaung PAMJ, dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Sultan Ibrahim turut melahirkan kekesalan baginda kerana masih ada pihak yang percaya kepada broker pingat untuk mendapatkan darjah kebesaran.

Sehubungan itu, jika ada pihak merasakan diri layak memperoleh pingat serta darjah kebesaran, mereka perlu bersabar kerana baginda dapat melihat orang yang patut menerimanya.

"Cubalah tanya Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, berapa lama selepas menjadi Menteri Besar Johor, baru beliau dikurniakan darjah mahkota Johor," titah baginda.

Dalam perkembangan lain, Sultan Ibrahim bertitah baginda berharap pemimpin atasan di peringkat pusat dari Johor tidak akan lupa untuk membantu negeri sendiri.

Baginda juga berharap anggota PAMJ, yang ditubuhkan pada 1982, tidak akan mengambil kesempatan menggunakan persatuan itu untuk kepentingan peribadi, dan mereka perlu bekerjasama bagi mencapai matlamat serta tujuan penubuhannya. -BERNAMA

Tiada ulasan: