Isnin, 23 April 2012

Persatuan Pengilang Beras Minta Kerajaan Tarik Balik Lesen Belian Padi

MSTAR ONLINE


ALOR SETAR: Persatuan Pengilang-pengilang Padi Sino-Malay dan Persatuan Pengilang-pengilang Padi Kedah Perlis memohon supaya kerajaan menarik balik lesen belian padi penimbang besar tanpa kilang.

Pengerusi Persatuan Pengilang-pengilang Padi Sino-Malay Datuk Chew Giok Jun mendakwa pemberian lesen orang tengah itu menyebabkan mereka mengalami kerugian.

"Kewujudan orang tengah ini seolah-olah mahu memonopoli belian padi ke atas petani-petani di Kedah dan Perlis.

"Kami merasakan tidak perlu diwujudkan orang tengah kerana kita sudah ada Bernas (Padi Beras Nasional Berhad) dan kilang-kilang beras yang sedia ada sudah cukup untuk keperluan petani-petani di kedua-dua negeri ini," katanya kepada pemberita di sini Ahad.

Chew mendakwa sejak kerajaan memberi lesen belian padi kepada orang perseorangan, syarikat pusat belian pengilang-pengilang beras dan Pertubuhan Peladang Kawasan, hampir 50 peratus kilang padi telah ditutup.

Chew mendakwa tindakan itu menyebabkan orang tengah itu mendapat dua hasil komisen iaitu daripada petani dan juga pengilang-pengilang beras.

"Jika tiada orang tengah, semua petani akan mendapat keuntungan yang lebih kerana mereka tidak perlu melalui orang tengah dan menghantar terus hasil padi kepada pengilang," katanya.

Chew berkata kerajaan seharusnya menyusun atur perancangan bagi menghasilkan benih padi terbaik supaya petani tidak mengalami masalah kekurangan benih padi dan bukannya berebut untuk membeli padi yang hasilnya setiap tahun semakin merosot.

"Sejak kerajaan memberi lesen itu kepada orang tengah, kami mengalami kerugian kira-kira 10 peratus. Hasil padi pula semakin berkurang tapi pusat belian padi semakin bertambah. Jadi macam mana kami nak teruskan perniagaan kalau selalu rugi," katanya.

Beliau berkata pihaknya telah menghantar surat kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berkaitan isu itu tetapi masih belum mendapat maklum balas. - BERNAMA

Tiada ulasan: