Jumaat, 6 April 2012

Perkasa mahu Anwar debat dengan Nallla

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu berdebat dengan Datuk S.Nallakaruppan mengenai kenyataan Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MUIP) itu bahawa tiada peruntukan dalam Perlembagaan membenarkan seorang biseksual menjadi Perdana Menteri atau Ketua Pembangkang.

Ketua Penerangan Perkasa, Ruslan Kasim berkata, sebagai seorang yang hebat berpidato, Anwar sepatutnya boleh berhujah dengan panjang lebar mengenai perkara itu dan bukannya bertindak menyaman Nallakaruppan.

"Saya juga hairan kenapa Anwar yang terkenal sebagai pakar 'spinning' (putar belit) dan pakar untuk mengalihkan sesuatu isu, sampai terpaksa menyaman Datuk Nalla (Nallakaruppan) dan seolah-olahnya beliau begitu gelabah dan panik apabila Datuk Nalla menimbulkan isu tersebut.

"(Anwar) tidak seperti mana biasa apabila ada sahaja isu yang dikaitkan dengannya, beliau kelihatan tenang sahaja memberikan reaksinya secara bersahaja," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ruslan berkata Anwar juga sepatutnya meminta PAS dan DAP menyokong beliau dalam isu tersebut seperti mana isu-isu lain yang dikaitkan dengannya sebelum ini.

"Saya kira tindakan Anwar untuk meminta sokongan daripada PAS dan DAP itu lebih wajar beliau ambil berbanding tindakannya menyaman Datuk Nalla RM100 juta kerana ini akan membolehkan beliau menerangkan kepada rakyat mengapa beliau amat marah dengan kenyataan Datuk Nalla," katanya. – Bernama

Tiada ulasan: