Rabu, 25 April 2012

Pencinta alam sekitar turut ke Dataran Merdeka

MALAYSIA CHRONICLE


KUALA LUMPUR- Pada 28 April ini, Kuala Lumpur bukan sahaja menerima kehadiran rakyat yang menuntut ke arah pilihan raya yang bersih dan adil, tetapi turut disertai mereka yang mencintai alam sekitar.

Jawatankuasa Pemandu Himpunan Hijau, berkata perancangan asal jawatankuasa itu untuk Himpunan Hijau 3.0 yang akan diadakan di KLCC, akan diteruskan.

Dalam kenyataannya kepada Harakahdaily, hari ini, para penyokong Himpunan Hijau 3.0 dinasihatkan tiba lebih awal sebelum jam 11 pagi, sebelum berarak ke Dataran Merdeka, pada jam 12 tengahari.

"Jawatankuasa menerima pengesahan daripada pelbagai NGO dan gerakan sivil yang akan bertemu di KLCC, 28 April ini. Kita akan melihat 13 bendera negeri-negeri akan berkibar di tengah-tengah ikon negara, menara berkembar pada hari itu," kata pengerusinya, Wong Tack.

Tambah Wong, program ini akan berlangsung dengan penuh aman dan harmoni sebagaimana Himpunan Hijau 2.0 yang diadakan di Kuantan, Pahang, pada 26 Februari lalu.

Bagaimanapun, beliau mengingtkan dan menggesa mana-mana pihak agar mengamalkan dan menghormati proses demokrasi, yang menjamin hak berhimpun dan bersuara.

"Himpunan ini berasaskan kepada sayang dan cintanya kita kepada alam sekitar dan kemanusiaan. Jadi, kita harapkan polis akan memelihara profesionalisme mereka dalam mengendalikan himpunan aman ini kelak," tegas beliau lagi.--Harakahdaily

Tiada ulasan: