Selasa, 24 April 2012

Pemuda PAS setuju Selangor tidak bubar DUN serentak

MALAYSIA CHRONICLE


SHAH ALAM- Dewan pemuda PAS Selangor menasihatkan supaya Datuk Seri Noh Omar supaya mempastikan suasana pilihanraya di peringkat nasional berada di dalam keadaan yang cukup bebas dan adil sebelum menuduh Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor takut untuk mengadakan pilihanraya secara serentak.

Ketua Pemuda PAS Selangor, Hasbulah Mohd Ridwan  berkata, kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor mempunyai hak untuk mendapat pilihanraya yang bebas dan telus serta tidak perlu mengikut telunjuk Umno dan Barisan Nasional.

Antara perkara yang dipertikaikan oleh Pakatan Rakyat sehingga kini adalah berkenaan daftar pemilih yang masih ‘kotor dan belum dibersihkan’ terutamanya di negeri Selangor.

Selangor telah menerima pertambahan seramai hampir setengah juta pengundi baru sehingga Disember 2011.

Katanya, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor cukup yakin sekiranya pilihanraya umum yang akan datang boleh diadakan secara telus dan adil, sudah pasti Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor akan turut sama melaksanakan pilihanraya serentak dengan peringkat nasional.

Tetapi dengan situasi terkini yang masih tidak mencerminkan kesungguhan pihak kerajaan persekutuan dan pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Malaysia “membersihkan” proses sistem pilihanraya di dalam Negara ini menyebabkan Pemuda PAS Selangor bersetuju dengan tindakan pihak Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor untuk mengadakan pilihanraya secara berasingan dengan kerajaan persekutuan.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga turut menyokong penuh tindakan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor untuk membantu SPR di dalam membersihkan senarai daftar pemilih baru.

Ini kerana ia diragui dan disangsikan keabsahan status pemastautin mereka melalui kempen Selangorku Bersih, kata beliau.

Bagi beliau, kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor telah mengambil inisiatif yang terbaik untuk mempastikan pilihanraya yang akan datang berlaku dalam suasana yang telus.

"Ianya perlu dicontohi oleh kerajaan persekutuan dengan ‘membebaskan’ SPR untuk melaksanakan tugas mereka secara lebih ‘bebas’ tanpa ada campurtangan politik," tegasnya.

Pemuda PAS Selangor juga mempertegaskan keyakinan untuk terus mempertahankan kemenangan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor berdasarkan sokongan rakyat terbanyak di dalam pilihanraya yang akan datang.

Ia akan dibuat walaupun momokan Umno dan Barisan Nasional di dalam media arus perdana menyatakan sebaliknya.

Umno dan Barisan Nasional kini sedang berada di ambang penolakan rakyat secara ‘total’ sehingga terpaksa menggunakan seluruhnya jentera media arus perdana untuk ‘mempersolekkan diri mereka untuk menjadi cantik’ di mata rakyat.

Ia dibuat walaupun hakikat sebenarnya mereka kini semakin jelek dan hodoh, kata beliau.-harakahdaily

Tiada ulasan: