Jumaat, 20 April 2012

PAS S’gor kerah 50,000 ahli sertai Bersih 3.0

Ini sebagai satu langkah bagi membantu penganjur mencapai matlamat jumlah kehadiran setengah juta penyokong. 




SHAH ALAM: PAS Selangor akan menggerakkan sekurang-kurangnya 50,000 ahlinya termasuk para penyokong menyertai Perhimpunan Bersih 3.0 di Dataran Merdeka pada 28 April ini.

Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman berkata, pihaknya akan menggerakkan 2,500 ahli dan penyokong daripada setiap Kawasan PAS Selangor, seperti yang diarahkan PAS Pusat.

“PAS Selangor akan menggerakkan sekurang-kurangnya 2,500 ahli dan penyokong dari setiap Kawasan, iaitu dari 22 PAS Kawasan di seluruh Selangor.

“Beberapa pelancaran mobilisasi Himpunan Bersih 3.0 juga akan diadakan di beberapa kawasan, antaranya Kawasan PAS Gombak pada 18 April depan, Sabak Bernam (23 April), dan Kuala Langat (25 April),” katanya dalam sidang media di Pejabat Parlimen Shah Alam di sini hari ini.

Abdul Rani berkata, pihaknya turut menerima arahan daripada PAS Pusat supaya menyediakan petugas Unit Amal semasa perhimpunan itu nanti.

“Usaha untuk memobilisasi 50,000 ahli dan penyokong PAS ini akan diketuai Pengerusi Lajnah Penggerak Demokrasi dan Mobilisasi PAS Mohd Sany Hamzan,” katanya.

Katanya, ini sebagai satu langkah bagi membantu penganjur mencapai matlamat jumlah kehadiran setengah juta penyokong Himpunan 3.0 yang turut diadakan di 47 bandar di 15 negara di seluruh dunia.

Bertemakan ‘Duduk Bantah’, Perhimpunan Bersih 3.0 diadakan bagi mendesak kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membersihkan sistemnya yang dianggap kotor dan tidak telus sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Selain itu, kumpulan penentang pembinaan kilang memproses nadir bumi di Gebeng, Kuantan ‘anti-Lynas’ dijangka turut mengadakan Himpunan Hijau 3.0 pada hari yang sama.

Tiada ulasan: