Rabu, 4 April 2012

Pas Selangor nafi pandang ringan isu murtad

AHMAD NORMAN ABU TALIB

Dr Abd Rani Osman

SHAH ALAM – Pas Selangor menafikan parti tersebut memandang ringan isu murtad berkaitan pendedahan video oleh bekas Pesuruhjayanya, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali semalam.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abd Rani Osman berkata, beliau tidak menganggap isu membabitkan akidah orang Islam sebagai satu perkara tidak penting, sebaliknya menegaskan kenyataannya dibuat Ahad lalu menerusi Sinar Harian adalah berhubung keperluannya untuk hadir ke sidang media Hasan.

Menurutnya, Pas Selangor sentiasa memandang serius sebarang perkara berkaitan akidah orang Islam di negara ini dan dakwaan Hasan itu adalah sebagai tidak benar sama sekali.

Beliau menegaskan Hasan tidak perlu membuat tuduhan sedemikian.

“Dia tak baca penuh...apa yang saya maksudkan bukannya akidah tak penting tetapi tak penting untuk saya ke sidang media diadakannya itu kerana saya sendiri mempunyai enam program pada hari sama.

“Lagipun siapa dia untuk panggil saya? Sedangkan sebelum ini bila wujud apa-apa isu saya memanggilnya tetapi beliau sendiri tidak hadir,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, hari ini.

Dr Abd Rani berkata, masalah murtad dihadapi itu bukannya terletak di bahu Pas sahaja tetapi melibatkan PKR dan Umno juga dan semua pihak marah bila timbul isu seperti itu.

Bagaimanapun, beliau menyarankan, sebarang usaha yang dilakukan sepatutnya dimaklumkan kepada pihak berkuasa seperti Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Menurutnya, beliau menyokong usaha dilakukan Hasan itu dan bukannya dia sahaja, tetapi sebarang usaha dilakukan mana-mana pihak bagi memerangi murtad.

“Sepatutnya dia (Hasan) mendedahkan nama individu murtad tersebut kepada pihak berkuasa saya sebutkan itu supaya tindakan boleh diambil seperti kaunseling dan sebagainya malah soal keselamatan kita ada polis untuk melindungi mereka.

“Saya sokong usaha dia (Hasan) dan begitu juga sesiapa sahaja untuk mencegah murtad tetapi kenapa masa dia Exco Kerajaan Negeri dia tak dedahkan perkara ini? Mungkin dia ada agendanya sendiri,” katanya.

Semalam, Hasan membidas kenyataan Dr Abd Rani mendakwa isu video murtad tidak penting berbanding isu pengundi hantu.

Tiada ulasan: