Selasa, 3 April 2012

Pas belum putuskan kerusi Salahuddin

KAMARUL HALIM M KAMAL

salahuddin

BATU PAHAT - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengesahkan Naib Presidennya Salahuddin Ayub akan bertanding di Johor pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Bagaimanapun beliau memberitahu, Pas masih belum lagi memutuskan kerusi yang akan ditandingi Salahuddin, dan ianya akan ditentukan dalam masa terdekat ini.

“Salahuddin akan bertanding di Johor dan terpulang kepada Johor untuk memikirkan kawasan dan yang muktamad nanti pihak kami akan tentukan apabila tiba hari penamaan calon kelak.

“Kita akan terima calon dari negeri dan akan disahkan oleh Majlis Syura Ulama Pusat. Setelah disahkan terpulang kepada negeri untuk meletakkan di mana calon itu bertanding,” katanya kepada media selepas Majlis ‘Hi-tea’ dan Dialog Bersama Pemimpin di Taman Megah, kelmarin.

Kelmarin, Sinar Harian melaporkan hasrat Salahuddin untuk bertanding kerusi Parlimen sama ada di Batu Pahat, Pontian, Pulai atau Tanjong Piai.

Salahuddin juga dilaporkan tidak menolak kemungkinan bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan Parlimen secara serentak.

Abdul Hadi berkata, secara umumnya, sebanyak 80 sehingga 90 peratus proses pembahagian kerusi antara komponen Pakatan Rakyat (PR) di Johor sudah selesai dan akan diumumkan apabila tiba masanya.

“Kita mengambil kira kekuatan calon dan tempat dia bertanding. Terserah kepada parti masing-masing dan perbincangan antara Pakatan Rakyat.

"Kita utamakan pemimpin tempatan kerana perubahan di Johor memerlukan sokongan rakyat tempatan. Pastinya jika anak tempatan bertanding ia agak mudah diterima,” katanya.

Beliau berkata, sokongan terhadap Pas semakin positif di Johor terutamanya dalam kalangan pengundi muda di pedalaman dan kaum bukan Melayu.

“Saya pasti pihak Barisan Nasional (BN) sudah mula takut dengan bayang-bayang mereka sendiri kerana mereka sebelum ini sering kali mengatakan Johor kubu kuat mereka kerana di negeri ini lahirnya Umno yang menjadi teras kepada BN.

“Saya pasti BN dan juga Umno akan turut tumbang di kawasan kelahiran mereka di Batu Pahat ini,” katanya.

Tiada ulasan: