Isnin, 2 April 2012

Parlimen bahas laporan PSC minggu depan

Wartawan Sinar Harian

undi

KUALA LUMPUR - Laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya akan diedarkan kepada semua Ahli Parlimen, esok.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, bagaimanapun laporan itu dijangka hanya akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada akhir minggu depan.

"Laporan itu adalah menyeluruh dan menyentuh semua isu utama. Sesetengahnya dipersetujui, sesetengahnya tidak. Tetapi anda akan dapat lihat semua itu dalam

laporan itu. Tunggu sehingga esok. Kita akan tahu apakah cadangan yang dibuat," katanya kepada Bernama.

Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata laporan itu mengandungi 22 cadangan untuk dipertimbangkan oleh kerajaan.

Ia dikumpulkan oleh sembilan anggota PSC pada pendengaran-pendengaran awam dan daripada maklum balas sejak ia memulakan kerjanya pada 2 Oktober tahun lepas.

Lima daripada anggotanya ialah daripada Barisan Nasional (BN), tiga daripada pakatan pembangkang PKR-DAP-PAS dan seorang anggota Parlimen Bebas.

PSC juga menubuhkan lima jawatankuasa kecil untuk meneliti memorandum yang dihantar terus kepadanya. Ia menyiapkan kerjanya pada Rabu lalu selepas

mengadakan 14 mesyuarat dan enam sesi inkuiri awam.

Beliau berkata, banyak isu telah diberikan pertimbangan oleh jawatankuasa berdasarkan tiga prinsip iaitu kepentingan, kesegeraan dan kebarangkalian pelaksanaannya dibenarkan dalam kerangka undang-undang dan perlembagaan.

Sembilan anggota panel itu dilaporkan telah mencapai persetujuan ke atas 16 daripada 22 isu yang dibangkitkan oleh MP kerajaan dan pembangkang, dan antara

isu yang belum diputuskan ialah mengenai tempoh kempen, undi pos bagi pengamal media, undi luar negara dan pembiayaan politik.

Sesetengah anggota dikatakan mahukan tempoh berkempen lebih panjang iaitu 21 hari tetapi sebahagian lagi mahukan hanya 10 hari.

Mengenai undi pos bagi pengamal media, dikatakan sesetengah anggota tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana berpendapat undi pos patut dimansuhkan.

Juga dilaporkan bahawa jawatankuasa itu bersetuju untuk membenarkan pembiayaan politik tetapi modelnya masih belum diputuskan.

Tiada ulasan: