Khamis, 5 April 2012

Para pegawai Najib lobi jadi calon

Shahbudin Husin



Pilihanraya umum mungkin akan diadakan dalam tempoh beberapa bulan ini. Sementara Pakatan Rakyat berjuang untuk mengakhiri pemerintahan 54 tahun UMNO dan BN dengan janji untuk membawa perubahan serta kebaikan kepada rakyat, di dalam UMNO pula kemelut untuk berebut dan melobi menjadi calon pilihanraya nampaknya lebih menonjol.

Meskipun diakui bahawa UMNO barada dalam kedudukan cukup genting dan peluang untuk kekal memerintah masih 50-50 dan Najib dalam masa yang sama terus menghamburkan pelbagai jenis gula-gula politik seperti janji durian runtuh untuk peneroka Felda janji-janji lainnya disamping umpan RM500,RM200 dan RM100 yang sudah diberikan, hakikatnya tidak banyak perubahan yang dapat dilihat.

Ini kerana bagi rakyat, mereka mahukan lebih daripada itu. Tidak cukup sekadar memberi rakyat sekelumit tunai tetapi cerita-cerita rasuah dan kemewahan pemimpin tetap terpamer di sana-sini. Apa yang rakyat mahukan sebenarnya ialah sebuah kerajaan yang baik, sentiasa menjaga rakyat, tidak rasuah, tidak boros dan membazir sementara pemimpin dan keluarganya pula mestilah menunjukkan akhlak serta perilaku yang bersesuaian dan boleh dicontohi.

Oleh kerana UMNO sudah digelumangi dengan rasuah sejak sekian lama dan ia sudah menjadi hampir sebati, maka penolakan rakyat terhadap UMNO semakin kuat hari demi hari meskipun pelbagai cara cuba dilakukan. Hari ini UMNO dan pemimpinnya berada dalam kedudukan nyawa-nyawa ikan dan hormat rakyat kepada pemimpin UMNO juga jelas makin berkurangan.

Najib tentunya mahukan UMNO terus menang, jika tidak beliau akan menjadi Perdana Menteri terakhir UMNO, sesuai dengan teori RAHMAN yang ternyata betul itu. Selain kerana rakyat semakin cerdik dan terbuka serta persepsi buruk terhadap UMNO dan para pemimpinnya yang menjadi halangan utama bakal menghambat Najib untuk terus meraih kejayaan, keghairahan melampau sebahagian besar para pegawai Najib sendiri menonjolkan diri untuk menjadi calon pilihanraya kali ini turut menambahkan lagi kesukaran yang ada.

Sementara UMNO sendiri belum tentu “winnable” di hati rakyat tetapi sebahagian besar pegawai-pegawai Najib sudah berani mengaku mereka adalah “winnable” dengan lebih sibuk melobi dan menonjolkan diri untuk dipilih sebagai calon pilihanraya berbanding usaha mewujudkan perpaduan dan menguatkan UMNO itu sendiri.

Daripada berpuluh-puluh pegawai Najib, sekurang-kurangnya tujuh daripada mereka bakal dicalonkan dalam pilihanraya kali ini. Ianya tidak mustahil menjadi nyata kerana usaha lobi-melobi ke arah mencapai hasrat itu begitu cekal dilakukan tanpa memikirkan ada tugas lain yang lebih penting dimainkan di saat-saat genting seperti sekarang ini. Ini tentunya suatu rekod bagi Najib kerana di zaman Mahathir hanya Tan Sri Megat Junid Megat Ayob (kini arwah) dan kemudian diikuti Saad Man yang bertanding dalam pilihanraya sementara di zaman Pak Lah, Othman Desa seorang saja pegawainya yang bertanding pilihanraya.

Selain pegawai-pegawai Najib ini mempunyai kedudukan dalam UMNO yang diperolehi semasa Najib menjadi Perdana Menteri, mereka kini ingin meluaskan lagi pengaruh dan kedudukan dengan melobi untuk dipilih sebagai calon pilihanraya pula. Mereka ingin memperolehi segala-galanya selagi berada di bawah naungan Najib.

Pegawai-pegawai terbabit ialah:

1. Fatmi Che Salleh, Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu dan dijangka dipilih bertanding di Parlimen Kota Bharu juga. Beliau ialah Setiausaha Politik Najib di Jabatan Perdana Menteri.

2. Shafei Abdullah, Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, dijangka akan bertanding di Parlimen Wangsa Maju, Setiawangsa atau Titiwangsa. Beliau ialah Setiausaha Politik Najib di Kementerian Kewangan. Kiranya Najib terus mengekalkan kerusi Wangsa Maju kepada MCA sebagaimana kouta sekarang, beliau dijangka akan dipayungterjunkan ke Setiawangsa atau Titiwangsa. Namun Shafei sedang melobi kuat untuk mendapatkan kerusi Setiawangsa berikutan terdapat puluhan ribu undi askar di situ.

3. Sahlan Ismail, Setiausaha Politik Najib di Jabatan Perdana Menteri dikhabarkan sedang mengintai untuk bertanding di Parlimen Pokok Sena untuk berhadapan dengan Mahfuz Omar berikutan tiada calon tempatan yang sesuai untuk berhadapan dengan Naib Presiden Pas itu.

4. Jailani Ngah, Setiausaha Politik Najib di Jabatan Perdana Menteri juga sedang melobi untuk bertanding salah satu kerusi di Terengganu dan kerusi DUN Batu Rakit adalah pilihannya yang selamat setakat ini. Sebuah blog ‘Sanggah Tok Janggut’ juga melaporkan sebelum ini bahawa Jailani bukan setakat melobi untuk dirinya tetapi turut memainkan peranan cuba mencatur kedudukan calon-calon pilihanraya di Terengganu untuk pilihanraya kali ini dengan memasukkan beberapa nama yang rapat dengannya dan menyingkirkan wakil-wakil rakyat sedia ada.

5. Ghazali Ibrahim, pegawai khas Najib di Jabatan Perdana Menteri ini ialah bekas Ahli Parlimen Padang Terap, Kedah. Walaupun pernah menjadi wakil rakyat sebelum ini tetapi keghairahannya untuk dipilih semula sebagai calon pilihanraya tetap membara berikutan kedudukannya yang lebih rapat dengan Najib sekarang ini.

6. Farid Ridzuan, penasihat media Najib ini ialah bekas CEO TV3 dan diuar-uarkan akan dibawa ke kabinet sebagai Menteri Penerangan jika UMNO terus dapat berkuasa dan Najib kekal sebagai Perdana Menteri. Beliau yang berasal dari Perak dan dibesarkan di Kuala Lumpur, dijangka akan diletakkan di salah satu kerusi Parlimen di negeri Perak atau di negeri lain yang difikirkan boleh menang.

7. Latt Shariman ialah pegawai tugas-tugas khas Najib di Kementerian Kewangan dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah. Sebagai Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah, beliau akan memilih salah satu kerusi yang selamat di kawasan itu pilihanraya kali ini.

Dengan sekurang-kurangnya tujuh orang pegawai yang sedang berkhidmat dengan Najib akan bertanding dalam pilihanraya umum akan datang, sementara UMNO sendiri masih terumbang-ambing antara timbul dan mungkin karam, prioriti mereka pastinya akan menjadi kacau-bilau di antara untuk menentukan kemenangan UMNO secara keseluruhan atau menentukan kemenangan peribadi di kawasan masing-masing.

Sebelum ini iaitu sebaik Najib menjadi Perdana Menteri, terdapat keghairahan yang melampau di kalangan sesetengah pegawai Najib untuk menjawat jawatan penting di peringkat bahagian, tetapi kini keghairahan itu diteruskan lagi untuk menjadi calon pilihanraya pula.

Perbagai cara sudah dan sedang dilakukan untuk menonjolkan diri sebagai calon yang “winnable” di hati Najib dengan harapan hasrat yang terpendam di hati akan menjadi kenyataan. Di sisi Najib mereka ini mungkin boleh dilihat “winnable” tetapi di sisi rakyat, bukan saja mereka, malahan Najib dan UMNO sendiri belum tentu lagi dilihat “winnable” dalam pilihanraya akan datang ini.

Penulis pernah menjadi wartawan beberapa akhbar di tahun 80an dan 90an, pernah juga berkhidmat di MARA. Pada tahun 1996-2000 menjadi Setiausaha Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan, Pemuda Umno Malaysia dan 2004-2008 menjadi Naib Ketua Pemuda dan AJK Umno Bahagian Wangsa Maju. Telah menghasilkan dua buah buku politik bertajuk Najib PM Terakhir…dan Kesilapan-Kesilapan Najib.Beliau memiliki laman blog di shahbudindotcom.blogspot.com

Tiada ulasan: