Jumaat, 27 April 2012

NFC mahu saman Rafizi, bank

MALAYSIA KINI

Pengerusi National Feedlot Corporation (NFC) Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail merancang untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas pengarah strategi PKR Rafizi Ramli dan juga ke atas sebuah bank berhubung dakwaan pendedahan maklumat peribadi perbankan.

Satu kenyataan NFC hari ini menyebut, tindakan itu diambil ke atas Rafizi ekoran pendedahan berhubung maklumat perbankan mereka melalui satu sidang media pada 7 Mac lalu.

Mohamad Salleh mendakwa Rafizi menyebarkan butiran perbankan dan penarafan kredit syarikat NFC serta empat lagi syarikat berkaitan – National Meat and Livestock Corporation Sdn Bhd, Real Food Company Sdn Bhd dan Agroscience Industries Sdn Bhd.

Selain itu, Rafizi juga didakwa mendedahkan butiran perbankan peribadi pengarah dan pemegang saham syarikat berkenaan tanpa keizinan mereka.

Tindakan itu didakwa melanggar peruntukan undang-undang bawah Akta Bank dan Institusi Kewangan (Bafia).

Menurut kenyataan itu lagi, peguam Mohamad Salleh juga akan mengambil tindakan undang-undang ke atas Rafizi kerana menyebarkan dan menyiarkan kenyataan fitnah ke atas dirinya.

Mohamad Salleh mendakwa, Rafizi "memperdaya media dan orang ramai dengan sengaja memutarbelit fakta" dengan mengatakan bahawa pengarah NFC menggunakan pinjaman mudah oleh kerajaan bagi mendapatkan pinjamat untuk membeli hartanah KL Eco City di Kuala Lumpur.

“Tidak pernah apa-apa pinjaman dibuat untuk pelaburan KL Eco City," kenyataan itu dipetik.

Syarikat berkenaan juga membuat aduan rasmi kepada Bank Negara Malaysia terhadap bank yang dikaitkan dengan pendedahan maklumat tersebut.

Peguam syarikat dan pengarah berkenaan pula sedang membuat persediaan untuk memfailkan saman ke atas bank berkenaan "yang gagal memenuhi permintaan syarikat dan pengarahnya."

Mohamad Salleh membuat dua laporan polis berhubung dakwaan berkenaan hari ini, menurut kenyataan itu lagi.

Tiada ulasan: