Selasa, 10 April 2012

Najib: Sokongn kaum Cina masih rendah tapi meningkat

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kepercayaan dan sokongan masyarakat Cina kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) semakin meningkat sejak beliau mengambil alih pentadbiran negara.

Perdana Menteri berkata, melalui pelbagai persemukaan yang dilakukannya sejak tiga tahun lepas, trend sokongan kaum tersebut itu semakin meningkat dan menggalakkan walaupun peratusannya lebih rendah berbanding masyarakat lain.

"Dia rendah tetapi trend adalah ke arah meningkat. Saya percaya kalau proses persemukaan kita jalankan secara berterusan, pelaksanaan program dapat
dirasai oleh sebahagian besar masyarakat dan kita membuat pertimbangan yang adil, saya rasa peratusan sokongan boleh terus meningkat," katanya.

Najib berkata demikian ketika menjadi tetamu rancangan 'Chat Time With... Najib' yang disiarkan secara langsung oleh stesyen televisyen NTV7 malam ini.
Dalam program selama sejam itu, Perdana Menteri berkata, secara realitinya kerajaan sedar masih ada kelompok 'atas pagar' yang belum membuat keputusan
berkaitan sokongan terhadap kerajaan.

Ditanya apakah yang disasarkan beliau dalam konteks sokongan masyarakat Cina kepada BN dalam pilihan raya umum akan datang, Najib berkata, adalah mustahil
untuk mendapat sokongan 100 peratus dalam sistem demokrasi berparlimen.

"Yang penting bagi kita ialah mendapat sokongan yang membolehkan kita memenangi satu-satu kerusi, apatah lagi ia kerusi Parlimen. Kita nak majoriti dalam kawasan tersebut untuk memihak kepada BN," katanya sambil menambah kata ini bergantung kepada komposisi kaum di kawasan berkenaan.

Mengenai sama ada beliau risau dengan kecenderungan mengundi masyarakat Cina yang dilihat agak sukar difahami, Najib menegaskan semua kaum adalah penting dan perlu diberi perhatian.

"Saya telah nyatakan bahawa saya Perdana Menteri untuk semua, bererti tanggungjawab saya mestilah untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan semua kaum.

"Dan melalui usaha kita untuk membuat 'engagement' dan komunikasi yang baik, maka kita berharap bahawa mereka akan memberi sokongan kepada kita bila
sampai masanya," tegas beliau.

Dengan menggunakan perumpamaan 'tak kenal maka tak cinta', Perdana Menteri berkata, beliau lebih memahami sikap, aspirasi dan harapan kaum Cina terhadap kerajaan, hasil persemukaan dengan masyarakat itu.

Justeru, Najib mengajak masyarakat Cina supaya bersama-sama kerajaan menjayakan agenda transformasi negara kerana tanpa kerjasama semua pihak, agenda besar itu tidak mungkin dapat direalisasikan.

"Sekira saya hendak tinggal satu pesanan kepada penonton khususnya masyarakat Cina di Malaysia, ia adalah penting bagi mereka bersama kami dalam menyokong perjalanan ini ke arah mentransformasikan Malaysia.

"Agenda kami bagi mentransformasikan Malaysia merupakan agenda besar dan adalah penting untuk mereka menyokongnya dan tidak mengambil pendirian 'mari kita lihat dan tunggu... biar kita tunggu di luar'.

"Agenda transformasi ini tidak akan berjaya tanpa sokongan rakyat. Sekiranya ia berlaku, saya boleh jamin anda bahawa saya yakin kita akan mencapainya,"
katanya.

Najib, yang mengelak ketika ditanya bila pilihan raya umum akan diadakan, berkata pilihan raya di Malaysia dijalankan secara bersih dan adil.

"Kalau tidak sebegitu, bagaimana kita kalah lima negeri pada pilihan raya lalu dan Kelantan masih di bawah pembangkang selama 22 tahun," katanya.

"Biar saya katakan dengan jelas bahawa kami semua menyokong pilihan raya yang bersih dan adil. Saya sudah perkatakan banyak kali dan ingin mengulangi sekali lagi - kami tidak mahu dipilih atas dasar menipu dan manipulasi pilihan raya.

"Kami mahu rakyat benar-benar menunjukkan sokongan mereka secara bersih dan adil, " kata Najib.

Mengenai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500 yang mendapat sambutan baik masyarakat, Najib berkata jika kedudukan kewangan negara bertambah kukuh, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk meneruskan program itu.

"Tetapi saya belum boleh membuat komitmen, ia bergantung kepada pengukuhan kewangan negara. Kalau kedudukan kewangan negara bertambah mantap dan kukuh dan kita ada kemampuan, ada keupayaan, masa itu kita boleh timbang," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: