Isnin, 9 April 2012

Mufti Selangor: Hati-hati pilih guru agama

NURULFATIHA MUAH

Keratan Sinar Harian yang mendedahkan ajaran sesat Ahmad 100

SHAH ALAM - Umat Islam dinasihatkan berwaspada dalam memilih guru supaya tidak terjebak dengan ajaran sesat.

Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid berkata, guru agama yang dipilih perlu ‘murshid’ (tinggi ketakwaan dan ilmu serta terpelihara daripada sifat hati tidak baik) dan jelas tidak nampak kesalahannya.

“Orang Islam kena berhati-hati dan jauhi ajaran meragukan,” katanya ketika mengulas mengenai ajaran Ahmad 100 kepada Sinar Harian, semalam.

Mengulas mengenai Imam Mahdi, Mohd Tamyes berkata, imam itu tidak akan berkelakuan seperti duduk di atas al-Quran ketika berceramah atau menjalin hubungan dengan isteri orang.

“Naluri orang beriman kepada ALLAH, dia tahu apa dipelajari dalam ajaran itu tidak benar. Jika dia mengaku dirinya sebagai Imam Mahdi dan berperangai sedemikian, jelas sekali dakwaan itu salah,” katanya.

Menurutnya, ajaran Islam sepatutnya disebarkan secara terang-terangan seperti dilakukan Rasulullah SAW kepada umatnya, bukan secara tersembunyi.

“Pada awal kemunculan Islam, ALLAH memerintahkan baginda berdakwah secara rahsia, ibarat pokok baru mula tumbuh. Kalau tidak, mudah dicabut.

“Lima tahun kemudian, baru ALLAH perintahkan Nabi Muhammad SAW berdakwah secara terang-terangan apabila sudah ramai memeluk Islam. Sekarang, tiada ajaran secara sembunyi, kalau ada, karut,” katanya.

Mohd Tamyes turut menasihatkan orang ramai yang pernah terpedaya dengan ajaran sesat supaya meminta ampun daripada ALLAH.

“ALLAH itu maha pengampun, andai kata orang itu tidak sedar ketika jadi pengikut, mohonlah keampunan-Nya.

“Ada empat syarat taubat iaitu menyesal atas perbuatan dilakukan, berjanji tidak akan membuat kesalahan, berhenti lakukan kesalahan dan jika berkaitan dengan manusia, mohon maaf kepada mereka. Jika melibatkan barang, pulangkanlah atau jika sudah termakan, minta dihalalkan,” katanya.

Kelmarin, Sinar Harian melaporkan pengakuan beberapa bekas pengikut ajaran Ahmad 100 yang bergerak secara sulit menerusi beberapa pertemuan rahsia di sebuah kediaman di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, bagi mengelak dihidu pihak berkuasa.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenainya kerana khuatir timbul salah faham.

Sebelum ini, Sinar Harian dimaklumkan, perkara itu masih disiasat oleh Jawi.

Tiada ulasan: