Ahad, 8 April 2012

Menteri Besar Kesal Dengan Serangan Terhadap Exco



SHAH ALAM : Kejadian serangan ganas terhadap ahli Exco Kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah di Serdang kelmarin dipandang serius oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Dalam satu kenyataan media, beliau melahirkan rasa kesal dengan kejadian serangan tersebut dan menyeru agar semua pihak menolak keganasan dalam semua aspek kehidupan.

Beliau sebaliknya mengesa agar semua masalah diselesaikan melalui perbincangan yang berhemah dan terbuka.

“Saya berharap pihak polis akan menjalankan siasatan adil dan telus agar mereka yang bersalah akan dibawa kepada muka pengadilan,” katanya.

Ean Yong yang juga Adun Seri Kembangan cedera ditumbuk oleh dua lelaki di sebuah restoren di Jalan Sekolah Kampung Baru, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 pagi itu, Ean yang juga Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram ditumbuk oleh lelaki terbabit selepas selesai makan di restoran itu.

Ketika keluar dari restoran itu, dua lelaki terbabit menghampirinya dan terus memarahi serta bercakap dengan nada kasar.

“Seorang daripada lelaki itu terus menerpa ke arah saya dan memukul bahagian kiri wajah menggunakan tangan, dia turut memukul dan menarik tangan saya.”

“Sebelum beredar, rakan peniaga berkenaan turut mengugut mengancam nyawa saya. Sebaik kejadian, kedua-duanya terus melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang diletakkan di luar restoran,” katanya.

Ean berkata beliau ditumbuk di hadapan 20 ahli jawatankuasa DAP Seri Kembangan dan beberapa pelanggan di restoran itu.

Katanya, beliau mengenali salah seorang daripada dua lelaki terbabit.

Jelasnya, salah seorang lelaki terbabit merupakan salah seorang peniaga daripada 184 peniaga yang dipindahkan ke pasar rakyat Jalan SK 6/1.

“Peniaga itu tidak berpuas hati dengan lokasi tapak gerainya itu, manakala rakannya itu merupakan seorang ahli parti politik lain,” katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan perkara itu berunsurkan politik.

Ean membuat laporan polis di Balai Polis Seri Kembangan selepas setengah jam kejadian.

Tiada ulasan: