Rabu, 11 April 2012

Mengapa YTL Comms dapat projek 1Bestarinet?

MALAYSIA CHRONICLE


KUALA LUMPUR-Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menuntut kerajaan menjelaskan mengapa YTL Communications Sdn Bhd (YTL Comms) dianugerahkan projek 1Bestarinet.

"Sejak tahun lalu lagi pasaran dan media telah mempertikaikan mengapa YTL Comms berada di hadapan dalam saingan untuk mendapatkan projek itu.

"Ia syarikat baru dan tidak ada rekod untuk diukur kualiti perkhidmatan dan kualiti rangkaiannya," kata beliau yang mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dengan penanugerahan projek itu kepada syarikat yang pernah dihebohkan sebagai syarikat kroni Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu.

Mahfuz mempersoalkan, mengapa tidak dianugerahkan projek itu kepada Telekom Malaysia Berhad (TM).

"TM mempunyai infrastruktur talian kepada sekolah-sekolah tersebut.

"Jika TM yang menyediakan perkhidmatan itu, tentulah tidak semahal yang disediakan oleh pendatang baru baru dengan pengalaman kosong seperti YTL Comms yang tidak mempunyai sebarang infrastruktur ke sekolah-sekolah itu.

"Kalau tak mahu bagi kepada TM pun, bagilah kepada Celcom atau Timedotcom yang juga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti TM," katanya.

Beliau membangkitkan, pasaran sendiri dilaporkan mempersoalkan mengapa YTL Comms boleh mengetepikan pesaing lain yang lebih hebat dan berpengalaman dalam mendapatkan projek 1Bestarinet.

"Sedangkan kesemua yang bersaing dengan YTL Comms adalah gergasi-gergasi dalam bidang komunikasi dan mempunyai infrastruktur masing-masing," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Sukar difahami, katanya, mengapa syarikat-syarikat lain seperti TM, Timedotcom, Maxis dan Celcom yang ternyata merupakan gergasi dalam bidang telekomomunikasi tewas di tangan YTL Comms.

Mahfuz juga menuntut kerajaan menjelaskan apakah keistimewaan yang ada pada YTL Comms yang tidak ada pada pesaing-pesaingnya itu.

"YTL sudah pun dikecam sebagai lintah darat terutama dalam laman sosial kerana ia adalah salah satu penjana kuasa bebas (IPP) yang begitu dibenci oleh ramai rakyat negara ini," katanya.

Projek 1Bestarinet bernilai RM1.5 bilion itu akan akan menyediakan saluran internet dan pembelajaran maya kepada 9924 sekolah di seluruh Malaysia.-Harakahdaily

Tiada ulasan: