Khamis, 5 April 2012

Mazlan: Tunjukkan bukti peneroka sokong

Pengerusi Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman meminta Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) membuktikan dakwaan bahawa seramai 112,635 peneroka menyokong penyenaraian Felda Global Venture Holding (FGVH) di Bursa Malaysia.

Beliau berkata, jika dakwaan tersebut benar, FELDA perlu menunjukkan referendum sokongan daripada peneroka yang menyokong penyenaraian itu.

"Apa bukti? Mereka ada ke referendum yang dapat sokongan daripada peneroka? Berapa ramai yang bersama mereka?" katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Pengarah Besar Pembangunan Komuniti FELDA, Faizoull Ahmad yang memberi jaminan seramai 112,635 peneroka semua tanah rancangan agensi itu akan mendapat durian runtuh berikutan penyenaraian FGVH.

Berita Harian pula melaporkan Faizoull berkata, 112,635 peneroka tersebut sekaligus menyokong penyenaraian yang akan dibuat mereka pada Jun nanti.

Selain itu, Mazlan turut menambah, dakwaan FELDA yang menjanjikan peneroka akan mendapat durian runtuh berikutan penyenaraian FGVH sebagai satu 'gimik'.

Jelasnya, helah akan dapat durian runtuh sengaja direka untuk memberi harapan kepada peneroka.

"Mereka sengaja beri harapan. Nanti bila mereka gagal beri durian runtuh pada peneroka, yang salah adalah pembangkang. Sedangkan FGVH sehingga kini tak mampu untuk membuat apa-apa. Mereka nak senaraikan apa?," katanya.

Menurut Mazlan yang juga merupakan ahli jawatankuasa PAS berkata, sehingga kini, hanya Negeri Sembilan sahaja yang menandatangani dokumen membenarkan tanah kerajaan negeri disenaraikan.

Malah, Mazlan berkata, tanah Felda Plantation di Pahang, Johor dan Sabah yang mempunyai keluasan besar juga masih belum ditandatangani oleh kerajaan negeri masing-masing.

"Kalau tak dapat tandatangan daripada kerajaan negeri, macam mana nak senaraikan. Kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat awal-awal lagi dah tolak.

"Sekarang apa aset yang FGVH ada? Lagipun mereka perlu mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) bagi dapatkan mandat daripada perwakilan," katanya sambil mendakwa FGVH kini "tenat" dan kerajaan juga berdepan dengan keadaan yang getir sekarang.

Tiada ulasan: