Rabu, 11 April 2012

Makin ramai orang Dayak sokong Pakatan di Sarawak

Roketkini.com



KUALA LUMPUR – Barisan Nasional tidak lagi kebal di Sarawak dan ia kini dilihat sebagai sebuah negeri yang sangat berpotensi buat Pakatan Rakyat memandangkan peningkatan sokongan masyarakat Dayak terhadap Pakatan Rakyat.

Pengerusi DAP Sarawak, Wong Hong Leng berkata, sokongan masyarakat Dayak terhadap Pakatan Rakyat, terutamanya DAP, amat memberangsangkan semasa pilihan raya negeri (PRN) 2011 yang lalu.

“Tanpa sokongan undi masyarakat Dayak di Kota Sentosa, Kidurong, Meradong, Dudong dan Batu Kawah, (kerusi) DAP Sarawak tidak mungkin seperti sekarang,” katanya dalam sidang akhbar di sini petang semalam.

DAP yang bertanding di 15 kerusi DUN sewaktu PRN Sarawak telah berjaya memenangi 12 kerusi manakala rakannya dalam Pakatan, iaitu PKR, mendapat 3 kerusi. BN, walaupun kekal menang dengan 55 kerusi DUN, telah hilang lapan kerusi yang dimenanginya dalam PRN 2006.

Wong yang juga Ahli Parlimen Sibu berkata, kegagalan kerajaan Barisan Nasional pimpinan Taib Mahmud menangani masalah rampasan dan pencerobohan tanah hak adat (NCR) juga merupakan salah satu faktor perubahan sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat.

“NCR merupakan antara satu isu terbesar di Sarawak. Pakatan Rakyat terutamanya dari DAP telah menyuarakan isu ini dengan lantang bagi pihak masyarakat Dayak.

“Pemimpin-pemimpin Barisan Nasional pula tidak berusaha menyelesaikan masalah ini malah mereka merampas tanah NCR dan memberikannya kepada kroni,” ujarnya.

Beliau turut memberitahu bahawa peruntukan RM30 juta dari kerajaan Taib Mahmud bagi menyelesaikan masalah tanah NCR melalui ukur semula tanah tidak mungkin berhasil tanpa mengikut ‘parameter sebenar’.

“Kelihatannya mereka tidak mengetahui apakah parameter tersebut…Ini antara bukti BN telah gagal mentadbir Sarawak dengan baik,” tambah beliau yang juga Adun Bukit Assek.

Beliau berkata bahawa untuk memastikan Pakatan Rakyat memerintah Malaysia, adalah penting bagi rakyat di Sabah dan Sarawak bukan hanya sekadar mengurangkan sokongan kepada BN malah memenangi lebih banyak lagi kerusi.

“Kita cuma menunggu masa, Sabah dan Sarawak tidak akan lagi menjadi ‘deposit tetap’ untuk BN,” katanya.- Roketkini.com

Tiada ulasan: