Sabtu, 14 April 2012

Kereta meletup, ahli perniagaan cedera parah

SITI AZILA ALIAS

Lee Cheong Beng yang melecur teruk dipindahkan dari Hospital Seberang Jaya (HSJ)
Anggota forensik melakukan siasatan ke atas kereta milik seorang tauke kilang yang terbakar

SEBERANG JAYA – Seorang tauke sebuah kilang logam dekat Perai, melecur 70 peratus bahagian badannya selepas keretanya yang diletakkan di hadapan rumahnya, dekat Persiaran Semilang di sini, meletup pagi tadi.

Keretanya mangsa, Lee Cheong Beng, 52, meletup kira-kira jam 8.20 pagi sebaik enjin dihidupkan.

Letupan menyebabkan kereta yang dinaiki terbakar, dan mangsa yang berada dalam kereta menjerit meminta tolong apabila api mula menyambar badannya.

Jeritan mangsa kemudiannya didengari seorang orang awam yang bertindak menarik mangsa keluar dari kenderaan dan segera menelefon ambulan dan bomba.

Mangsa yang cedera dari bahagian kepala hingga ke bawah dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk menerima rawatan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob ketika mengadakan tinjauan ke lokasi berkata, siasatan dijalankan pihak forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) bagi mengetahui punca letupan.

Bagaimanapun, beliau enggan membuat kesimpulan awal sama ada terdapat unsur-unsur khianat atau sebaliknya sebelum menerima laporan penuh siasatan.

“Berdasarkan maklumat awal yang diperoleh, letupan dipercayai berlaku ketika mangsa menghidupkan enjin kereta. Mangsa mengalami kelecuran dan dikejar ke HSJ, dan sudah pun dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.

“Kita masih belum boleh membuat keputusan sama ada kemalangan berlaku berpunca dari letupan tayar atau disebabkan ada bahan letupan atau bahan bakar yang terdapat pada kenderaan itu sendiri kerana ia masih dalam siasatan. Jabatan Kimia akan dipanggil bagi membantu pasukan forensik sebelum menentukan punca sebenar letupan,” katanya.

Tiada ulasan: