Isnin, 2 April 2012

Kempen DAP tarik pengundi Melayu bermula malam tadi

Usaha terbaru DAP untuk menarik pengundi Melayu melalui siri ceramah yang akan diadakan oleh pemimpin Melayu parti itu bermula dengan ceramah sulungnya di Subang Jaya malam tadi.

NONEBerucap di majlis tersebut ialah Setiausaha Politik kepada Lim Guan Eng - Zairil Khir Johari (kiri) - dan penulis blog Ariff Sabri Abdul Aziz dan Aspan Alias.

Penganjur bersama siri ceramah tersebut - Roketkini, portal berita DAP - yakin ceramah itu akan membantu untuk menyerlahkan komitmen parti itu kepada masyarakat berkenaan dan bahasa kebangsaan.

Penyelaras Roketkini, Mazir Ibrahim berkata tidak mengapa jika penyertaan orang Melayu adalah rendah dalam ceramah sulungnya malam tadi.

Daripada 100 orang yang hadir dalam ceramah di Subang Jaya itu, hanya 30 daripada terdiri daripada orang Melayu.

Katanya, apa yang pihaknya mahu sampaikan ialah DAP konsisten dalam menghormati penggunaan Bahasa Malaysia.

Oleh itu, katanya, penceramahnya akan terus bercakap dalam Bahasa Malaysia kerana ia adalah bahasa kebangsaan dan difahami oleh semua.

Siri ceramah tersebut, kata Mazir, akan diperluaskan secara berperingkat ke Johor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

Ia juga akan menampilkan beberapa profesional muda Melayu yang akan mengumumkan penyertaan mereka dalam parti DAP yang majoriti ahlinya terdiri daripada kalangan kaum Cina.

Menurut Zairil, objektif siri ceramah tersebut adalah untuk berkempen untuk DAP dan Pakatan Rakyat serta "menjelaskan kepada rakyat bahawa DAP bukan sebuah parti cauvinis dan perkauman".

Zairil, yang mencetuskan idea untuk menganjurkan siri ceramah tersebut bersama Roketkini dan ibupejabat DAP, percaya beliau telah memperlihatkan semangat tersebut dalam ucapannya malam tadi.

Mengenai tajuk 'Mengapa saya menyertai DAP', Zairil berkata, parti yang berusia 46 tahun itu telah menjadi banyak sasaran fitnah yang tidak berasas.

Tiada ulasan: