Isnin, 2 April 2012

Kakitangan awam boleh semak pelarasan gaji di web JPA

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mengeluarkan pekeliling perkhidmatan mengenai jadual gaji baru penjawat awam, selaras keputusan kerajaan untuk melaksanakan pelarasan gaji antara tujuh hingga 13 peratus berdasarkan Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Pekeliling yang telah dimuat naik di laman web JPA www.jpa.gov.my Jumaat lalu membolehkan penjawat awam menyemak jadual serta mengira secara automatik kadar gaji baru bagi Perkhidmatan Awam Persekutuan. Gaji baru itu berkuat kuasa mulai 1 Januari 2012.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Abu Bakar Abdullah berkata, pekeliling itu bertujuan melaksanakan keputusan kerajaan mengenai kenaikan gaji sebanyak 13 peratus berdasarkan SSM dengan Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) antara RM80 hingga RM320 kepada pegawai dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional, serta Kumpulan Pelaksana.

"Bagi pegawai dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi, kenaikan gaji sebanyak tujuh peratus hingga sembilan peratus dengan KGT berdasarkan pelarasan peratusan yang ditetapkan," katanya di dalam Pekeliling berkenaan.

Abu Bakar berkata dengan berkuatkuasanya pekeliling itu, jadual gaji bagi Perkhidmatan Awam Persekutuan di bawah SSM sebelum 1 Januari 2012 dan beberapa peruntukan pekeliling perkhidmatan termasuk pelaksanaan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) adalah dibatalkan.

Menurut Abu Bakar, prinsip kenaikan bagi gaji baru adalah berdasarkan gaji hakiki pegawai pada 31 Disember 2011 dan ditambah dengan kadar peratusan kenaikan gaji mengikut gred.

Berdasarkan jadual gaji, kadar kenaikan gaji sehingga 13 peratus diberikan kepada pegawai kumpulan Pelaksana (Gred 1-40) dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional (Gred 41-54).

Kadar kenaikan tujuh peratus diberi kepada kumpulan pengurusan tertinggi (Gred Gaji VU1, VU2 dan setaraf), lapan peratus (VU3,VU4 dan setaraf) dan sembilan peratus (VU7-VU5 dan setaraf).

Pelaksanaan gaji baru itu layak diberikan kepada pegawai tetap, sementara, kontrak dan guru sandaran kecuali bagi pegawai yang dikenakan hukuman tata tertib, buang kerja yang berkuatkuasa pada atau sebelum 1 Januari 2012 dan pegawai yang bersara sebelum tarikh itu.

Abu Bakar berkata kenaikan gaji itu tidak mengubah tarikh pergerakan gaji pegawai atau elaun dan kemudahan di bawah SSM kecuali elaun yang kadar atau kelayakannya adalah berdasarkan gaji atau linkungan gaji.

Beliau berkata, peruntukan pekeliling perkhidmatan itu dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan, tertakluk kepada penerimaan oleh pihak berkuasa masing-masing. – Bernama

Tiada ulasan: