Rabu, 25 April 2012

Isu LGBT pandangan peribadi Nasharudin

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Pas menyifatkan kenyataan Nasharudin Mat Isa berhubung amalan LGBT sebagai pandangan peribadi bekas Timbalan Presiden Pas itu.

Nasharudin kelmarin, menyifatkan amalan LGBT ibarat satu wabak yang akan menjadi kanser dalam masyarakat dengan ancaman dahsyat membawa kesan negatif serta boleh merosakkan fabrik sosial.

Naib presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, Nasharudin berhak menyuarakan apa sahaja pandangan dan kami menghormatinya.

“Pas akan tetap menyokong perjuangan Bersih 3.0 walaupun dipengerusikan Datuk S Ambiga yang merupakan penyokong tegar amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

“Semua pihak harus memahami, Bersih 3.0 tidak melibatkan parti politik sebaliknya ia tanda sokongan di atas usaha dan sama-sama menggembleng tenaga bagi memastikan pilihan raya akan datang bersih dan telus.

“Sesiapa pun boleh menjadi pengerusi. Kami tidak mengambil kira latar belakang pengerusi atau sesiapa yang berada di dalam komuniti tersebut, asalkan ia tidak bercanggah dengan tuntutan asal,” katanya kepada media selepas menyerahkan memorandum kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, di sini, semalam.

Beliau berkata, Pas sendiri sudah menyatakan pendirian akan terus menyokong Bersih 3.0 kerana perjuangannya jelas iaitu menuntut satu sistem pilihan raya yang bebas daripada pelbagai perkara negatif.

Tiada ulasan: