Isnin, 23 April 2012

Husam: Penyenaraian tetap haram walau dilulus KPF

Nigel Aw


PAS menegaskan bahawa langkah kerajaan untuk menyenarai Felda Global Ventures Holdings (FGVH) ke Bursa Malaysia tetap haram walau diluluskan oleh Koperasi Permodalan Felda (KPF).

Naib presiden PAS Datuk Husam Musa berkata mana-mana badan bawah lembaga itu tidak berhak ke atas tanah seluas 380,180 hektar yang akan dipindah milik kepada FGVH daripada Felda Plantations dengan penyenaraian itu.

Katanya pemilikan tanah yang tidak mempunyai peneroka mengikut Seksyen 37 Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 itu terbahagi kepada dua – milikan individu dan milikan koperasi.

Tiada milikan lain dibenarkan melalui akta tersebut, sama ada melalui FGVH mahupun badan lain, katanya dalam Konvensyen Felda di Shah Alam hari ini.

Tambahnya, tugas Felda adalah untuk mengurus tanah berkenaan untuk peneroka dan bukannya untuk memiliki apa-apa.

Para peneroka yang hadir ke konvensyen berkenaan kelihatan sedia untuk menentang penyenaraian berkenaan – kesemua mereka menjawab bahawa mereka menentang langkah tersebut, apabila ditanya Husam.

Kumpulan berkenaan hadir untuk mengetahui rancangan yang akan dikemukakan pemimpin tersebut bagi menghalang penyenaraian itu.

Kumpulan berkenaan juga menentang KPF yang meluluskan resolusi pada Jumaat untuk menyokong penyenaraian itu.

Exco kanan kerajaan Kelantan itu berkata, kerajaan negeri akan menulis surat kepada Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti untuk menolak penyenaraian berkenaan.

Katanya kerajaan negeri akan mengemukakan alasan bahawa Felda Plantations tidak berhak ke atas tanah berkenaan dan tidak boleh memindahkan pemilikan tanah itu kepada FGVH.

Dalam pada itu, katanya lagi, kerajaan negeri juga telah menubuhkan panel perundangan untuk meneliti kaedah untuk mengambil semula kesemua tanah yang akan diberikan kepada FGVH itu.

Tiada ulasan: