Jumaat, 20 April 2012

Hospital Petra Jaya siap menjelang 2015

 
Tapak seluas 40 ekar bagi projek tersebut telahpun dikenal pasti iaitu bersebelahan dengan pejabat kesihatan negeri di Jalan Diplomatik, Petra Jaya.




KUCHING: Projek pembinaan Hospital Petra Jaya yang bernilai RM500 juta dijangka siap dalam tempoh tiga tahun selepas tender dikeluarkan.

Menurut Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Dr Chin Zin Hing, tapak seluas 40 ekar bagi projek tersebut telahpun dikenal pasti iaitubersebelahan dengan pejabat kesihatan negeri di Jalan Diplomatik, Petra Jaya.

Projek itu kini berada di peringkat reka bentuk dan tendernya akan dikeluarkan tidak lama lagi.
“Kita telah membuat reka bentuk hospital yang canggih serta lebih luas bagi menampung bilangan pesakit yang semakin meningkat.

Setelah siap dibina dijangka hospital itu mampu menampung sekurang-kurangnya 300 katil pesakit pada satu-satu masa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima lawatan daripada Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani di Hospital Umum Sarawak (HUS) sempena Hari Polis Ke-205.

Pembinaan Hospital Petra Jaya itu adalah bagi memenuhi keperluan mendesak penduduk di bandar raya Kuching, katanya, memandangkan HUS kini sudah tidak mampu menampung pesakit yang semakin bertambah setiap tahun.

“Kita memahami keperluan itu dan pembinaan hospital itu adalah usaha permulaan kita bagi memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada penduduk di negeri ini,” ujarnya.

Dalam pada itu Pengarah HUS Dr Abdul Rahim Abdullah memberitahu, ketika ini HUS hanya mempunyai 931 katil, selain 160 katil di Pusat Jantung Kota Samarahan.

Jumlah tersebut masih tidak dapat menampung jumlah penduduk di bahagian Kuching yang kini semakin meningkat dan mencecah 600,000 penduduk, tambahnya.

“Selain menampung pesakit yang memerlukan rawatan pakar daripada penduduk di sekitar Kuching, HUS turut menjadi pusat rawatan pesakit dari bahagian lain di negeri ini,” tambahnya.

Tiada ulasan: